SELEPAS 22 tahun menanti dengan penuh kesabaran, akhirnya Abby meluahkan rasa syukur apabila mas kahwin yang tertangguh daripada bekas suaminya, Norman Hakim, telah dilunaskan.
Perkongsian itu di laman sosial TikTok, Abby menarik nafas lega ia dipermudahkan dengan kerana pasangan masing-masing saling memahami.
"Dengan tenang, saya berkongsi serba sedikit agar semua orang tahu bahawa perkara ini telah pun selesai selepas 22 tahun.
"Terima kasih kepada suami dan Memey kerana tidak pernah mencampuri urusan tertangguh ini," kongsinya.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan berkata awalnya tidak mahu menghebahkan hal itu namun ingin berkongsi hasil kesabarannya selama 22 tahun, hak atau rezeki yang sepatutnya miliknya menjadi kenyataan.
Beliau berterima kasih kepada Norman yang menunaikan kewajipan itu sementelah dia sendiri menunggu dan mengakui tidak selesa selagi ia tidak selesai.
"Kepada yang terbaca hantaran ini, cukuplah sekadar di sini sahaja. Saya sebenarnya tidak berniat untuk berkongsi secara terbuka, cuma ingin memaklumkan bahawa hasil kesabaran selama 22 tahun ini, rezeki saya tetap menjadi rezeki saya. Alhamdulillah.
"Terima kasih kepada Norman Hakim kerana sudi melunaskan perkara yang tertunggak setelah berkemampuan. Awak kata tidak perlu dikongsikan, namun saya memilih untuk berkongsi.
"Bukan kerana perkara ini berpanjangan, tetapi kerana saya sendiri tidak pernah benar-benar selesa. Saya terus menunggu dengan penuh kesabaran.
"Semoga berkat kesabaran selama 22 tahun ini, saya dikurniakan sebuah mahligai bukan sahaja di dunia, malah di syurga kelak dan serta rezeki perbelanjaan yang lebih besar. Amin," titip Abby.
Dalam pada itu, Abby dalam hantaran lain mendedahkan dia tergerak hati untuk membuat tuntutan nafkah tertunggak selepas anak ketiga mereka mencecah 18 tahun.
"Setelah 18 tahun ikut umur Danisha baru saya tergerak hati untuk tuntut nafkah yang tertunggak. Ini baru bermula dan bukan meliputi semua, hanya nafkah makan minum dan tempat tinggal sahaja. Sekolah sama-sama.
"Memang sejak bercerai, ketika itu Danish berusia lima tahun, Dania tiga tahun dan Danisha baru lahir, penjagaan anak-anak tidak pernah jadi isu. Sebab Norman dulu sibuk dengan shooting sahaja.
"Saya pernah ingin menggunakan peguam untuk tuntutan selepas bercerai tetapi pada tahun 2008 (kos untuk) buka fail sahaja sudah beribu. Sudahnya sekali jumpa sahaja dengan peguam dan terus lupakan kerana duit tidak berapa ada," kongsi Abby.
Abby dalam masa yang sama menjelaskan sejak awal lagi hubungan mereka baik dan hidup sederhana. Namun seiring masa kemampuan kewangan bekas suami semakin stabil dan kukuh menyebabkan dia bersuara untuk mengingatkan tentang tanggungjawab terhadap anak-anak.
Pun begitu, Abby berkata perkara itu tidak boleh diceritakan secara terbuka dan hanya berkongsi penjelasan umum sahaja.
"Ringkasnya, hubungan kami baik sejak Norman dan Memey dapat anak pertama mereka 13 tahun lepas. Kami kadang-kadang keluar dan bercuti sama-sama.
"Pada awalnya, taraf hidup kami lebih kurang sama, jadi bila pergi ke mana-mana, masing-masing bayar sendiri. Ada masa saya belanja, ada masa Memey belanja, ada masa Norman (Oman) pula yang belanja. Begitulah ceritanya.
"Masa berlalu tanpa disedari, anak-anak pun membesar. Dalam tempoh itu, Norman dan Memey menjadi jauh lebih senang daripada saya (maksudnya, mereka sudah kaya).
"Disebabkan itu, supaya Norman tidak melupakan anak-anaknya, saya terpaksa bersuara atau menegur kerana rasa dia seperti tidak mengambil perhatian. Namun, tidak semua perkara boleh saya ceritakan secara terperinci, jadi saya kongsikan sekadar cukup untuk orang faham situasinya," titip Abby.
Susulan itu, Abby berharap orang ramai tidak bercakap buruk atau membuat spekulasi berlebihan dan menjelaskan langkah itu dibuat demi masa depan anak-anaknya agar mereka mempunyai simpanan.
"Apa pun, harap janganlah ada yang mengata, cakap tak habis-habis. Cerita saya dengan Norman memang tidak akan habis kerana kami ada anak-anak.
"Kerana itu jugalah tiba-tiba saya rasa menjadi satu keperluan untuk mendapatkan hak-hak saya demi masa hadapan mereka. Saya mahu anak-anak ada simpanan sedikit. Saya rasa berdiam langsung tidak membantu apa-apa. Keadaan pun berlalu begitu sahaja sebab…… bersambunglah nanti apabila saya rajin. #sabar #lamasabar #penyabarkansaya," titip Abby.
Dalam hantaran sama, Abby berkongsi penjelasan mas kahwin sebagai pemberian wajib suami kepada isteri ketika akad nikah sebagai tanda penghormatan, kasih sayang dan tanggungjawab.
Ia boleh diberikan dalam bentuk wang tunai, emas, barang bernilai dan apa sahaja yang dipersetujui dan bernilai yang kemudian menjadi hak mutlak isteri.
Dari sudut Islam mas kahwin adalah wajib dan tanpanya akad nikah tidak sah menurut jumhur ulama. Biarpun jumlah tidak ditetapkan dan ikut kemampuan kedua belah pihak, mas kahwin bukan bayaran membeli isteri.
Ia adalah hak penuh isteri yang mana suami tidak boleh mengambilnya kembali, bebas digunakan oleh isteri atau disimpan, boleh disebut tunai atau hutang dan kadar nilainya berbeza mengikut negeri.
Sekadar info, Abby berkahwin dengan Norman pada tahun 2002 namun berpisah Disember 2008. Tujuh tahun berkongsi hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohd Danish Hakim, 22, dan Marissa Dania Hakim, 20 dan Maria Danisha, 18.
Abby kemudian berkahwin kali kedua dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar pada Julai 2013 namun bercerai pada 2014.
Pemain watak Inspektor Aliza dalam drama penyiasatan Gerak Khas berkenaan kemudian mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faizal pada tahun 2015.
Sementara itu, Norman berkahwin kali kedua dengan aktres Memey Suhaiza dan dianugerahkan tiga orang anak iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 11, Muhammad Dikhriz Hakim, 9, dan Mikayla Delisha Hakim, 6.