BIARPUN sudah lama meninggalkan bidang pengacaraan, nama Puan Seri Nomala Samsudin menjadi perhatian warga maya.
Baru-baru ini, bekas wartawan penyiaran dan penyampai berita terkenal itu berkongsi detik cemas apabila tekanan darahnya mencecah paras membimbangkan iaitu 211, sekali gus memaksanya dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera.
Menerusi video dimuat naik di laman sosial Instagram, Normala mengakui dia sudah berdepan tekanan darah tinggi sejak enam bulan lalu dan amun tidak menyangka keadaannya boleh menjadi serius kerana mengamalkan gaya hidup aktif erta menjaga pemakanan.
"Benarlah ujian sakit itu tanda ALLAH sayang kita, tanda diangkat segala dosa. Insya-ALLAH tanda kita perlu lebih istiqamah.
"Tekanan darah naik sudah enam bulan dan selama ni saya bersenam, makan suplemen, saya jaga segalanya seperti biasa," kongsinya.
Difahamkan, bekas hos Nona berusia 62 tahun itu mendedahkan menerima rawatan titisan cecair melalui intravena (IV drip).
"Doktor kata kena buat drip dan ubat untuk kurangkan rasa pening vertigo serta tekanan darah (BP) mencecah 211," kongsi Nomala.
Walaupun berdepan ujian kesihatan yang mengejutkan, Normala bersyukur apabila keputusan pemeriksaan lanjut melibatkan jantung, paru-paru, darah dan buah pinggang menunjukkan semuanya berada dalam keadaan baik.
"Akhirnya saya kalah dengan BP ni, carta tak elok.
"Doktor kata kena makan ubat dan saya perlu buat pemeriksaan dan keputusannya jantung, paru-paru, darah dan buah pinggang Alhamdulillah okay. Berkat doa keluarga dan semua, saya bersyukur Alhamdulillah," kongsinya.
Dalam pada itu, pengacara Seulas Pinang itu juga sebelum ini dia mengalami masalah sukar tidur pada waktu malam.
"Banyak sangat yang hendak risaukan, risau itu, risau ini, macam-macam lah," tuturnya.
Mengambil pengalamannya sebagai pengajaran, isteri kepada bekas Menteri di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Seri Azmi Khalid menasihatkan orang ramai, khususnya mereka yang sudah berusia, agar tidak memandang ringan soal kesihatan.
Mencadangkan senaman ringan yang berterusan, Normala berkongsi agar mengutamakan keselamatan dan kesesuaian senaman dengan usia serta tahap kesihatan, bukan keterlaluan.
"Apabila sudah berusia kita kena beri penekanan tentang jaga kesihatan dengan lebih rapi lagi.
"Kalau kita rasa tidak sedap hati tentang tekanan darah, cepat-cepat buat pemeriksaan. Jangan tunggu-tunggu dan and dapatkan rawatan secepat mungkin.
"Doktor pesan jaga makan minum, elakkan makanan berminyak dan bergoreng.
"Berjalan laju atau brisk walk dan sentiasa jaga kesihatan. Tidak perlu seperti dulu, panjat bukit dan segala-galanya. Menyeramkan kadang-kadang kalau difikirkan balik, kan?
"Apapun apabila usia 60-an ini kena lebih banyak pada exercise yang manja-manja. Tapi, kena buat setiap hari," kongsinya.
Sekadar info, Normala yang terkenal dengan gelaran 'Perempuan Melayu Terakhir' merupakan bekas hos rancangan televisyen Nona dari 2001 hingga 2004.
Pernah bertugas penyampai berita Buletin Utama, Normala juga terdahulu berganding bersama Allahyarham Aziz Desa sebagai pengacara rancangan Seulas Pinang.
Sumber: Instagram