PEMERGIAN insan tersayang pastinya meninggalkan kesan mendalam, lebih-lebih lagi apabila yang pergi itu adalah seorang ibu yang menjadi tonggak kekuatan keluarga.
Industri seni tanah air turut diselubungi suasana hiba apabila pengarah terkenal, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin, kehilangan ibu tercinta, Allahyarhamah YM Tengku Julia Binti Tengku Mahmud, yang telah kembali ke rahmatullah pada pagi Khamis.
Berita duka tersebut dimaklumkan oleh pelakon Sharifah Shahora menerusi perkongsian di media sosial.
Shahora yang juga menantu kepada Allahyarhamah, memuat naik perkahbaran sedih itu dengan penuh rasa dukacita buat tatapan rakan-rakan serta pengikutnya.
Menurut perkongsian tersebut, Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.53 pagi. Selain Raja Mukhriz, Allahyarhamah turut meninggalkan dua lagi anak iaitu Raja Intan Salwa dan Raja Hafiz.
Hantaran berkenaan turut disertakan dengan doa agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
Rata-rata warga maya tidak ketinggalan mengirimkan ucapan takziah dan doa buat seluruh ahli keluarga agar diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian ini.
Sesungguhnya, kehilangan seorang ibu adalah satu kehilangan besar yang sukar diganti. Semoga segala kenangan indah menjadi penawar rindu dan doa yang tidak putus-putus mengiringi perjalanan Allahyarhamah di alam abadi.