ALHAMDULILLAH, pelajar Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) Nurul Ain Hannani selamat ditemui di Permas Jaya, Johor Bahru.
Menerusi laman sosial Threads, sepupunya @qistinafarihin berkonsi sekeping foto memaparkan Nurul Ain Hannani dan memaklumkan gadis berusia 23 tahun itu telah dijumpai dan pihak berkuasa sedang melakukan penyiasatan,
"Sepupu saya dah selamat dijumpai di Permas Jaya, Johor Bahru.
"Pihak polis sedang melakukan siasatan lanjut," kongsinya.
Qistina turut menitipkan ucapan penghargaan buat orang ramai yang peka dan menyalurkan maklumat.
Terdahulu, Qistina mendedahkan Nurul Ain Hannani tidak berjaya dihubungi keluarga pada Selasa.
"Pada Isnin 5 Januari, famili sepupu saya menghantarnya ke universiti kerana kelas fizikal sudah bermula.
"Macam biasa hari Isnin kami masih boleh berhubung. Hari Selasa tidak tahu apa jadi kerana saya tidak menghubunginya.
"Kemudian semalam Rabu, 7 Januari ibunya iaitu mak long saya menelefon bertanya jika saya boleh menghubungi Nurul Ain. Katanya sudah menelefon namun tidak dapat (dijawab) manakala teks hanya satu tick sahaja. Sementara itu, semua grup famili dia left," tulisnya.
Qaisara turut dimaklumkan sepupunya telah menyah aktif semua akaun media sosial.
"Saya tanya sepupu (tentang tidak hadir kelas), dia kata ada problem dengan pendaftaran. Saya pun okay jer, ingatkan nanti masuk universiti settle.
"Semalam saya tanya lagi kawannya, mereka tidak tahu ke mana Nurul Ain. Grup kelas pun tidak masuk langsung walaupun sudah menjadi kes.
"Ketua program pun cakap memang ada masalah pendaftaran. Petang semalam familinya datang ke rumah sewa namun dia tiada. Baju dan barang lain semua ditinggalkan tetapi ada bawa beg, komputer riba dan dompet," kongsinya.
Terdahulu SinarPlus melaporkan kehilangan Nurul Ain. Rakaman video memaparkan sosok wanita dipercayai Nurul Ain tular dan gadis berkenaan dikesan kali terakhir di Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan.
Gadis berkenaan memaklumkan kepada pemandu e-hailing dia sedang dalam perjalanan ke Johor namun hasil pemeriksaan mendapati tiada tiket dibeli ke negeri berkenaan.
Sumber: Threads