Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza bukti status Biduanita Negara, 65,000 peminat terpukau

Iklan

STATUS Siti Nurhaliza sebagai Biduanita Negara bukan sekadar gelaran, sebaliknya diterjemahkan secara menyeluruh menerusi Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere and Love yang berlangsung penuh gah, emosi dan keindahan seni, sekali gus memukau lebih 65,000 peminat yang hadir.

Membuka tirai persembahan, penyanyi tersohor itu mencuri perhatian apabila membuat kejutan dengan menyanyikan lagu Purnama Merindu dari atas kren, satu visual dramatik yang bukan sahaja berani, malah simbolik kepada perjalanan seni yang menjangkau tiga dekad. 

Iklan
Iklan

Lebih istimewa, Siti berkongsi bahawa momen tersebut merupakan antara impian yang akhirnya berjaya direalisasikan, iaitu berada di atas kren dan menyanyi di awangan. 

Iklan

Impian itu sekali lagi diterjemahkan apabila beliau kembali naik ke udara ketika mempersembahkan lagu Aku Cinta Padamu, menjadikan dua momen tersebut antara sorotan paling diingati sepanjang konsert.

Sepanjang segmen awal hingga pertengahan persembahan, pilihan lagu yang disusun rapi jelas dekat di hati peminat. Kebanyakan lagu menerima respons sing along, menjadikan suasana dewan seakan-akan sebuah paduan suara besar yang menyatukan emosi antara penyanyi dan penonton. 

Iklan

Aliran persembahan bergerak lancar tanpa menjejaskan momentum, sekali gus mengekalkan keterujaan dari satu segmen ke segmen seterusnya.

Segmen kolaborasi pula menjadi antara detik paling dinantikan. Persembahan duet bersama Hafiz Suip tampil mantap dan memenuhi jangkaan peminat, dengan keserasian vokal serta penghayatan yang mengundang sorakan gemuruh. 

Gandingan lain bersama rakan artis turut memberi warna berbeza, memperkayakan perjalanan konsert yang sarat dengan kepelbagaian emosi dan gaya.

Selain kekuatan vokal, aspek visual dan estetika jelas diberi perhatian. Setiap busana yang digayakan tampil anggun dan bersesuaian dengan tema segmen, sementara visual transisi antara babak disusun kemas dan berkesan. 

Mendominasi pentas

Elemen ini membantu penonton menghayati perjalanan emosi konsert secara berperingkat, menjadikan persembahan bukan sekadar enak didengar, malah indah untuk ditonton.

Aura Siti mendominasi keseluruhan pentas. Dengan vokal yang konsisten, kawalan pernafasan yang kemas serta kelincahan pergerakan, dia berjaya membuatkan majoriti penonton meremang. 

Keupayaannya menari sambil menyampaikan lagu-lagu mencabar memperlihatkan profesionalisme tinggi serta disiplin seni yang kekal terpelihara walaupun selepas tiga dekad dalam industri.

Apa yang dipersembahkan pada malam itu jelas selari dengan statusnya sebagai Biduanita Negara. 

Setiap elemen, daripada susunan lagu, pemilihan kolaborator hinggalah ke perincian teknikal, mencerminkan kematangan seorang penghibur yang memahami tanggungjawab terhadap legasi sendiri dan khalayak.

Konsert ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat termasuk Permaisuri Selangor, selain rakan artis seperti Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Awal Ashaari, Wany Kayrie, Fara Fauzana dan ramai lagi.

Secara keseluruhan, konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan ulang tahun, sebaliknya sebuah perayaan seni, dedikasi dan cinta yang menghubungkan Siti Nurhaliza dengan peminatnya. Satu malam yang mengukuhkan lagi kedudukan legenda itu dalam sejarah muzik tanah air.