SEBUAH video pertemuan suami isteri di Tanah Suci Mekah mencuri perhatian ramai selepas tular di media sosial, khususnya di platform TikTok.
Video tersebut memaparkan detik penuh emosi apabila seorang suami, Izzuddin Ehsan, secara sembunyi-sembunyi ingin membuat kejutan kepada isterinya, Fyqa Mael, ketika mereka berada di Mekah bagi menunaikan ibadah umrah.
Menurut Izzuddin, dia tidak pernah menjangkakan kandungan tersebut akan menjadi tular.
“Saya muat naik kandungan itu pada hari Selasa, lepas itu ia meletup secara tiba-tiba.
“Saya bangun pagi sebelum subuh dan mendapati TikTok saya dipenuhi notifikasi,” ujarnya ketika ditemu bual SinarPlus baru-baru ini menerusi alam maya.
Pasangan ini telah mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun, dengan ulang tahun perkahwinan mereka pada bulan Januari.
Walaupun perjalanan ke Tanah Suci itu bukan dirancang sebagai sambutan ulang tahun perkahwinan, pertemuan tersebut dianggap sebagai satu momen istimewa.
“Kalau ikutkan, ulang tahun perkahwinan kami pada bulan Januari. Jadi kami anggap pertemuan di sana sebagai ulang tahun kami,” ujar Izzuddin.
Isterinya berlepas ke Mekah lebih awal pada 30 Disember bersama rakan-rakan rapat sejak kecil.
Ketika itu, Izzuddin sendiri tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menunaikan umrah.
Namun, satu perbualan ringkas bersama rakannya, Muiz, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur telah mengubah segalanya.
“Muiz tiba-tiba cakap, ‘Din, jom kita buat DIY umrah 6 hari bulan.’ Masa itu isteri saya sebenarnya sudah berada di Mekah.
“Saya terkejut dan beritahu saya memang tak ada sebarang perancangan,” katanya.
Pada awalnya, Izzuddin mengakui berasa ragu-ragu dan tidak bersedia. Namun selepas berbincang dengan keluarga sendiri dan keluarga mentua, beliau menerima sokongan penuh.
“Keluarga saya dan keluarga mentua cakap ini rezeki. Kalau ada peluang buat umrah, pergilah,” katanya.
Segala urusan termasuk tiket penerbangan, visa dan persiapan diselesaikan dalam tempoh beberapa hari sahaja.
Izzuddin berlepas ke Mekah pada 6 hari bulan dan setibanya di sana, beliau terus berniat dan menyempurnakan ibadah umrah terlebih dahulu.
“Saya memang tak ada niat nak mengejutkan isteri dulu. Niat utama saya ke sana adalah untuk buat umrah. Kejutan itu nombor dua,” jelasnya.
Sepanjang perjalanan, Izzuddin tidak menghubungi isterinya selama hampir 12 jam kerana pelbagai faktor.
Keadaan itu menyebabkan isterinya mula berasa pelik.
“Mesej saya satu tik saja. Isteri kawan saya ada beritahu isteri saya dah mula murung. Tapi semua keluarga bantu menutup cerita dan cakap saya sibuk kerja,” katanya.
Dia menegaskan bahawa situasi tersebut bukan bertujuan untuk menipu.
“Dalam hati saya memang tak ada niat nak bohong. Saya cuma nak buat kejutan,” katanya.
Detik Pertemuan di Dataran Masjidil Haram
Selepas selesai menunaikan umrah dan bertahalul, pertemuan dirancang dengan bantuan rakan-rakan.
Izzuddin menghampiri isterinya dari arah belakang di kawasan Dataran Masjidil Haram.
“Saya rangkul bahu isteri saya dari belakang. Lebih lima saat baru dia pusing dan terkejut,” katanya.
Reaksi isterinya yang kelihatan menjauh dalam rakaman video bukan disebabkan rasa merajuk.
“Dia sebenarnya terkejut dan pada masa yang sama dia nak jaga wuduk. Dia asyik cakap, ‘Saya ada wuduk,’” jelas Izzuddin.
Selepas keadaan kembali tenang, isterinya mempersoalkan bagaimana pertemuan itu boleh berlaku.
“Dia tanya macam mana boleh jadi dan bila saya merancang. Sebenarnya dia ada naluri, tapi dia abaikan sebab tak nampak saya di situ,” katanya.
Izzuddin mengakui kejutan tersebut adalah hasil perancangan rakan-rakan rapat mereka.
“Dalang sebenar adalah Muiz dan rakan-rakan kami,” katanya.
Kisah ini bukan sahaja menarik perhatian ramai di media sosial, malah mencerminkan nilai keikhlasan, sokongan keluarga serta rezeki yang hadir tanpa dirancang.
Sekali gus menjadikan pertemuan itu satu momen bermakna dalam perjalanan hidup pasangan berkenaan.