RENTAK muzik rancak bakal bergema di perkarangan Dataran Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam menerusi aktiviti pound class.
Ia sekali gus menarik perhatian pengunjung Karnival Siang Malam Karangkraf 2025.
Dalam suasana penuh semangat dengan deruman enjin go-kart dan jeritan sorakan dari gelanggang street soccer, pound class muncul sebagai salah satu aktiviti yang mencuri tumpuan ramai.
Berlangsung dari 25 hingga 27 Julai ini, karnival anjuran Karangkraf bukan sekadar acara makan-makan dan hiburan semata-mata. Ia turut menyelitkan elemen gaya hidup sihat dalam bentuk aktiviti yang menyeronokkan dan mampu menyatukan komuniti.
Pound class adalah satu bentuk senaman yang semakin popular, terutamanya dalam kalangan anak muda. Ia menggabungkan pergerakan tarian dengan konsep bermain dram menggunakan sepasang stik khas yang dipanggil Ripstix. Rentak muzik yang pantas dan semangat peserta yang beramai-ramai menjadikan aktiviti ini sangat mengujakan.
Apa yang menarik tentang pound class ialah, ia bukan sekadar senaman untuk membakar kalori, tetapi juga mampu menjadi terapi untuk melepaskan tekanan. Banyak peserta yang datang dengan niat suka-suka, akhirnya mengakui mereka rasa lebih bertenaga dan ceria selepas menyertainya.
Suasana di karnival pastinya akan menjadi lebih hidup dengan kehadiran kumpulan peserta yang melibatkan pelbagai lapisan umu, daripada remaja hingga dewasa.
MEMUPUK GAYA HIDUP
Mereka bukan sahaja bergerak mengikut irama, malah saling memberi semangat antara satu sama lain, mencipta suasana yang positif dan menyeronokkan.
Aktiviti ini membuktikan bahawa bersenam tidak semestinya membosankan atau dilakukan secara bersendirian. Dengan muzik yang menghiburkan dan suasana yang penuh tenaga, pound class mampu mengubah persepsi ramai tentang senaman.
Justeru, Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 dilihat bukan sekadar tempat bersantai, tetapi menjadi pentas untuk memupuk gaya hidup sihat secara kreatif. Pound class adalah bukti bahawa kesihatan dan hiburan boleh digabungkan dalam satu aktiviti yang menggembirakan.
Bagi yang belum mencubanya, inilah peluang untuk merasai pengalaman unik ini. Sertai pound class, keluarkan peluh, dan hayati sendiri bagaimana muzik dan pergerakan boleh mencipta satu bentuk senaman yang menyenangkan dan menyeronokkan.
Jangan lepaskan peluang untuk turut serta dalam aktiviti ini yang akan berlangsung sepanjang karnival. Bawa kawan-kawan, keluarga atau rakan sekerja dan alami sendiri semangat sihat yang dibawa oleh pound class.
Nah, kalian boleh rujuk pada poster ini untuk keterangan lanjut, Ayuh kita bakar adrenalin menerusi aktiviti sihat ini.