SUASANA gemuruh dan penuh semangat mengisi malam XO CAMP! Concert, satu program berupa konsert kemuncak rasmi bagi XO Camp, program pencarian dan pembangunan bakat baharu di peringkat nasional.
XO Camp bermula dengan XO Audition 1.0 dan 2.0, yang menerima lebih 1,000 penyertaan dari seluruh Malaysia.
Daripada jumlah itu, 40 peserta terpilih menyertai latihan intensif tiga minggu yang menilai ketahanan, disiplin, kehadiran pentas, serta tahap kesediaan mereka melalui cabaran mingguan, sesi bimbingan dan penilaian berstruktur.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif XO House, Adib Hamdi, program tersebut bukan sekadar pertandingan, tetapi peluang melahirkan artis yang bukan sahaja berbakat, malah berdisiplin dan bersedia untuk industri.
Kesemua artis baharu XO House yang berpotensi akan dipilih secara eksklusif melalui program ini,” jelas Adib.
Pada masa sama, dia menekankan misi membina platform yang relevan dengan generasi muda dan menyumbang kepada pembangunan industri muzik tempatan.
Bakat baharu tempatan
Malam konsert menampilkan persembahan mantap daripada Iman Troye, Zubir Khan, Naim Daniel, Aufahanie, Syafiq Aqiel, Awa Zainal dari Kartika, Imran Ajmain, Ismail Izzani, Zynakal dan finalis XO Camp.
Konsert itu turut membuka peluang kepada media untuk berinteraksi dengan finalis dan mendalami perjalanan mereka sepanjang program.
Kehadiran lebih 1,000 penonton membuktikan sokongan rakyat terhadap bakat baharu tempatan.
Aksi pentas final menyaksikan Ammar Haikal dinobatkan sebagai juara. Dia membawa pulang wang tunai RM12,121.
Sementara tempat kedua dimenangi XO JR. (Putera Nasa, Putra Danish, Ikhzy dan Airel Adam) merangkul naib juara.
Tempat ketiga pula diraih Fariq Iqwan, diikuti Hayfa Andy di kedudukan keempat dan Aryan Alisa melengkapkan Top 5.