MENOLAK tawaran bernilai setengah juta ringgit bukan keputusan mudah, namun bagi Elly Mazlein, prinsip hidup tidak pernah boleh dijual beli.
Penyanyi dan pengacara popular itu percaya setiap rezeki sudah ditentukan dan keberanian untuk berkata tidak demi nilai diri akhirnya membuka pintu rezeki lain yang lebih bermakna.
"Tawaran datang ketika diri baharu berhijab dan ia bersyarat yang mana saya perlu membuka tudung.
"Setengah juta kan, satu amaun yang besar. Takkanlah kita tak nak, tapi kena ingat ada banyak lagi rezeki untuk Kak Lina.
"Takkanlah kita nak gadaikan prinsip hidup kita demi wang.
"Apabila membuat keputusan untuk berhijab, kalau tawaran lumayan sekalipun pada saya tidak mengapa untuk ditolak kerana insya-ALLAH akan ada rezeki yang lain.
"Cuma satu sahaja yang ingin sampaikan, tidak salah rasanya jika duta memakai tudung. Apa pun, Alhamdulillah sentiasa ada rezeki untuk saya. Saya kekal dengan prinsip saya untuk kekal berhijab," kongsinya.
Ujarnya, selepas menolak tawaran tersebut, rezeki dipermudahkan. Ditemui di pertunjukan fesyen Ariani Lebaran 2026, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pemilik nama Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu melafazkan syukur kini bersama jenama itu sebagai duta.
"Tahun lepas saya bersama Jakel tetapi tahun ini 2026 saya menerima tawaran Jakel dan Ariani. Rezeki sentiasa ada, saya berterima kasih. Alhamdulillah.
"Insya-ALLAH saya akan melakukan yang terbaik," kongsinya.
"Selepas itu saya menerima tawaran untuk bersama Ariani dan beberapa jenama lain," katanya.
Dia yang mesra disapa Kak Lina berkongsi perjalanan seninya pada tahun ini padat. Bakal muncul dalam rancangan Sembang Sahur di TV3, selebriti berusia 46 tahun itu menyifatkan ia sebuah 'comeback.'
Kekal relevan hampir tiga dekad dalam industri seni bukan sesuatu yang datang dengan mudah. Elly Mazlein berkongsi bahawa sikap terlalu selesa dan berkira dalam bekerja antara perkara yang harus dielakkan jika mahu terus bertahan.
"Untuk kekal dalam satu pekerjaan, apabila mendapat tawaran buat sehabis baik. Contohnya untuk buat content, saya akan menekankan produktiviti. Saya akan 'provide' semuanya.
"Daripada situ orang akan nampak kesungguhan dan saya tidak pernah berkira soal kerja.
"Pada saya, tip pertama kena kerja betul-betul dan jangan separuh jalan. Usaha buat yang terbaik," kongsinya.