Dari kampus ke pasaran sebenar, kolaborasi MPP UiTM, agensi & industri pacu jenama CeriteRaya lahirkan usahawan muda berdaya saing

Iklan

BERBEKALKAN semangat anak muda dan sokongan kukuh pelbagai pihak, jenama kuih raya ‘CeriteRaya’ bukan sekadar lahir sebagai produk bermusim, malah menjadi simbol kebangkitan keusahawanan mahasiswa UiTM Shah Alam yang semakin matang dan berani menembusi pasaran sebenar.

Seperti yang dikongsikan Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) MASMED, Prof Madya Dr Badrul Isa, pemilihan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebagai peneraju projek ini bukan dibuat secara rawak, sebaliknya berdasarkan kepimpinan serta bakat komunikasi yang dimiliki mereka.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, MPP merupakan kumpulan mahasiswa yang sentiasa ke hadapan dan menjadi contoh kepada rakan-rakan kampus.

Iklan

“Mereka lebih dekat dengan komuniti pelajar dan mempunyai sentuhan yang kuat untuk mempromosikan keusahawanan sebagai satu pilihan kerjaya selepas tamat pengajian.

"Sebab itu universiti melihat sudah tiba masanya mahasiswa diberi peluang menjalani simulasi perniagaan secara serius, bukan sekadar teori dalam kelas,” jelasnya.

Iklan

Tambah beliau, ‘CeriteRaya’ juga merupakan jenama pertama yang lahir melalui kerjasama strategik di bawah inisiatif keusahawanan universiti bersama rakan industri.

Kolaborasi strategik itu berlangsung antara MPP UiTM, Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) serta rakan industri, DMG Food Industries Sdn Bhd dengan sokongan teknikal daripada Bank Rakyat serta Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN)

“Ia adalah jenama anak-anak mahasiswa sendiri melalui konsep perkongsian modal dan produk bersama industri. Ini langkah berani kerana sebelum ini kita tidak pernah keluarkan jenama secara rasmi melalui MPP,” katanya.

Dari segi pemasaran pula, projek ini akan digerakkan secara besar-besaran di seluruh 13 kampus cawangan UiTM menerusi sistem rangkaian affiliate, selain disokong dengan kursus pengurusan dan pemasaran bersama MASMED serta Bank Rakyat.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub turut menyentuh kelebihan generasi muda hari ini yang cekap memanfaatkan teknologi dan medium digital dalam pemasaran.

“Video promosi semuanya dihasilkan sendiri oleh mahasiswa tanpa bantuan agensi luar. Ini membuktikan kreativiti dan keupayaan komunikasi mereka sangat luar biasa.

"Kita yakin mereka mampu membawa jenama ini jauh kerana teknik pemasaran generasi sekarang sangat pantas dan segar,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa ‘CeriteRaya’ tidak akan terhad kepada musim perayaan sahaja, sebaliknya dirancang untuk diperluaskan sebagai produk hamper dan jualan sepanjang tahun.

“Kuih raya tidak semestinya bermusim. Ia boleh menjadi produk berterusan jika diolah dengan strategi yang betul,” katanya.

Di pihak industri pula, Pengerusi DMG Food Industries Sdn Bhd, Datuk Dr. Hassan Saad menzahirkan keyakinan penuh terhadap potensi besar projek ini sehingga sanggup menyediakan kapasiti pengeluaran tanpa had.

“Pada awalnya sasaran sekitar 1,000 hingga 1,500 pek sahaja, tetapi selepas melihat sambutan dan kesungguhan mahasiswa, kita naikkan kepada 5,000 pek dan mungkin lebih.

Kami akan sokong sepenuhnya tanpa limit,” katanya.

Menurut beliau, kekuatan ‘CeriteRaya’ terletak pada kualiti produk serta variasi rasa yang ditawarkan.

“Dalam pembuatan biskut, kita bermain dengan tepung, gula dan mentega, tetapi kelainan rasa itulah yang membezakan.

"Dengan 28 variasi cookies, saya yakin produk ini boleh pergi jauh,” katanya optimis.

Beliau turut menyifatkan perniagaan kuih raya sebagai model yang pantas memberikan pulangan serta sesuai untuk mahasiswa mempelajari realiti perniagaan sebenar.

Menyentuh penglibatan MPP dalam kolaborasi tersebut, Mohamad Adib menekankan inisiatif itu mencerminkan kesungguhan mahasiswa dalam berbakti kepada komuniti kampus di sebalik kesibukan akademik.

"'CeriteRaya’ adalah platform terbaik untuk mengasah nilai kepimpinan dan keprihatinan sosial melalui model perniagaan yang inklusif," ujarnya.

Kolaborasi erat antara UiTM, MASMED, INSKEN, Bank Rakyat dan rakan industri ini dilihat sebagai contoh sinergi berkesan dalam melahirkan generasi usahawan muda yang bukan sekadar berani mencuba, malah mampu mengurus perniagaan berskala besar.

Daripada sebuah idea kampus, ‘CeriteRaya’ kini melangkah sebagai jenama kebanggaan mahasiswa, membuktikan bahawa anak muda hari ini bukan sahaja kreatif, tetapi bersedia memimpin dunia perniagaan masa depan.