JIKA segelintir masyarakat menganggap musim perayaan adalah tentang warna, makanan dan detik berkumpul bersama keluarga.
Berbeza pula bagi pelakon Adam Corrie. Dalam satu perkongsian di Threads miliknya, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini membuka satu perbincangan yang lebih besar tentang batas, kefahaman dan makna sebenar silaturahim.
Adam yang memeluk Islam sejak lebih dua dekad lalu tampil melahirkan rasa hairan apabila ada pihak mempertikaikan kehadirannya menyambut Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga yang masih bukan Islam.
Teguran tersebut, menurutnya, terasa janggal kerana ia membandingkan sambutan budaya dengan soal akidah.
Apa yang lebih mengelirukan, katanya, isu itu dibangkitkan sedangkan ramai umat Islam sendiri menyambut Tahun Baharu Masihi tanpa mempersoalkan asal-usulnya yang juga berkait dengan tradisi Kristian.
“Kenapa ada segelintir yang menegur dan mengatakan haram menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga saya yang belum Islam.
"Sedangkan pada masa yang sama ramai umat Islam menyambut Tahun Baru Masihi, yang asalnya juga berkait dengan tradisi Kristian?” luahnya.
Bagi Adam, sambutan tersebut langsung tidak menyentuh soal keagamaan.
Ia sekadar ruang untuk pulang ke kampung, berjumpa keluarga dan mengeratkan hubungan kekeluargaan yang tidak pernah terputus walaupun berbeza pegangan agama.
Menurutnya, sejak dahulu lagi kehadirannya dalam sambutan Tahun Baharu Cina hanyalah atas dasar kekeluargaan dan budaya, bukannya ritual atau amalan agama tertentu.
“Hakikatnya, Tahun Baru Cina yang saya raikan dahulu bukanlah dari sudut keagamaan, tetapi sekadar pulang berkumpul dan bertemu keluarga,” jelasnya.
Bapa kepada seorang cahaya mata lelaki itu turut memberitahu, sebagai seorang Muslim, dia sentiasa sedar akan batas yang perlu dijaga.
Tegasnya, tiada sebarang ritual agama lain disertai, malah aspek pemakanan halal dan adab pergaulan sentiasa dititikberatkan.
“Saya tidak terlibat dengan sebarang ritual agama, tidak melakukan perkara yang bercanggah dengan syariat, serta menjaga pemakanan halal dan batas sebagai seorang Muslim,” katanya lagi.
Baginya, kehadiran itu lebih kepada nilai hormat dan kasih sayang sesama keluarga, sesuatu yang juga dianjurkan dalam Islam.
Tidak melayan kecaman
Perkongsian jujur itu nyata mengundang pelbagai reaksi warganet.
Namun majoritinya tampil mempertahankan Adam Corrie dan menyifatkan sambutan Tahun Baharu Cina sebagai perayaan budaya, bukannya agama.
Ada yang menasihatinya supaya tidak melayan kecaman, malah menyokong pendiriannya selagi batas agama dijaga.
Tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman peribadi hidup dalam keluarga berbilang kaum dan agama, menjadikan sambutan perayaan sebagai jambatan persefahaman, bukan medan perpecahan.
“Tahun Baru Cina sambutan budaya, bukan agama. Tak haram,” tulis seorang warganet ringkas tetapi padat.
Seorang lagi berkongsi, hidup dalam keluarga majmuk menuntut kefahaman yang lebih luas dan hati yang lebih terbuka, selagi pegangan agama tidak dikompromi.
Dalam masyarakat berbilang budaya seperti Malaysia, kisah Adam Corrie ini secara tidak langsung mengingatkan bahawa perayaan tidak semestinya soal kepercayaan semata-mata.
Kadangkala, ia hanya tentang pulang ke pangkuan keluarga, sesuatu yang universal, merentas bangsa dan agama.