SELEPAS tujuh tahun berumah tangga, personaliti media sosial dan ahli farmasi, Siti Hawa Mohd Nor, 35, akhirnya dianugerahkan rezeki yang paling dinantikan apabila selamat melahirkan anak sulungnya pada Rabu.
Siti Hawa atau lebih dikenali sebagai Siti Awe berkongsi khabar gembira itu menerusi satu hantaran menyentuh hati di media sosial, sekali gus mengundang ucapan tahniah dan doa warganet.
Menerusi perkongsian di laman sosial Instagram, Siti Awe memaklumkan telah menjalani rawatan kesuburan selama dua tahun, termasuk dua kali percubaan melalui kaedah persenyawaan tabung uji (IVF).
Namun, ALLAH mengurniakan anugerah yang dinantikan apabila dia disahkan hamil secara semula jadi selepas enam bulan mencuba.
"Bismillahirrahmanirahim. Selepas tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan, dua tahun berusaha mendapatkan zuriat dan dua percubaan IVF yang tidak berjaya, akhirnya satu kehamilan semula jadi.
"Melalui perjalanan ini yang sarat dengan penantian, kepedihan saya belajar untuk lebih berserah dan bergantung kepada ALLAH serta rahmat-NYA dengan sepenuh jiwa.
"Kamu adalah segalanya yang telah kami nantikan selama ini ," titipnya.
Menerusi video, Siti Awe berkongsi perjuangannya untuk bergelar ibu termasuk suntikan hormon dan proses IVF yang mengundang air mata. Ujarnya, dia terus memilih IVF namun tidak menyangka ia adalah perjalanan yang mencabar.
"Saya mencuba secara semula jadi selama enam bulan dan ia bukan sesuatu yang mudah. Keletihan bekerja, terpaksa menolak beberapa tawaran dan menghentikan aktiviti lasak yang biasa dilakukan.
"Ketika itu, saya beranggapan IVF adalah jalan yang lebih mudah, lalu melangkau beberapa fasa dan terus memilih rawatan tersebut. Namun hakikatnya, IVF langsung tidak mudah.
"Mungkin jika sekali rawatan terus berjaya, ia kelihatan ringkas. Tetapi itu bukan pengalaman semua orang. Prosesnya melibatkan emosi, harapan yang tidak menentu dan kos yang besar.
"Kepada semua pasangan yang sedang cuba untuk hamil (try-to-conceive TTC), jangan berputus asa dan teruskan usaha. Insya-ALLAH, ALLAH Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Doa saya sentiasa mengiringi kalian," kongsinya.
Sekadar makluman, Siti Awe mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Faiz Farhan, pada April 2019.
Dia merupakan personaliti media sosial yang dikenali menerusi perkongsian berkaitan kesihatan dan gaya hidup, selain pernah tular melalui platform seperti ML Studio.