Ibu mimpi Kaabah, Dr Sheikh Muszaphar bawa tunai umrah. 'Panjangkan umurnya, ampunilah segala dosanya'

Iklan

ANGKASAWAN negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha berkongsi detik penuh makna apabila berpeluang membawa ibu tercinta, Sheikhah Zuraidah Ahmad Al-Masri menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci, selepas wanita itu bermimpi melihat Kaabah dan meluahkan hasrat untuk ke sana.

Menurut Dr Sheikh Muszaphar, keputusan membawa ibunya dibuat secara ringkas memandangkan masing-masing anak mempunyai komitmen sendiri. Justeru, beliau mengambil tanggungjawab itu  mengiringi ibunya berdua dalam satu perjalanan singkat tetapi sarat dengan makna.

Iklan
Iklan

"Ibu termimpi mimpi Kaabah, luahkan hasrat nak pergi. Anak-anak semua sibuk dan saya buat keputusan untuk bawanya ke sana. Hanya saya dan ibu.

"Sebuah trip pendek, empat hari di Makkah dan tiga hari di Madinah. Melepaskan rindu kepada rumah ALLAH," kongsinya.

Iklan

Dr Sheikh Muszaphar turut menyifatkan pengalaman itu sebagai hadiah yang tidak ternilai, apabila dapat meluangkan masa berkualiti bersama ibu tercinta di usia lanjut, jauh daripada kesibukan rutin harian.

Iklan

Apa yang lebih menyentuh hati ramai ialah ketabahan ibunya yang kini berusia 81 tahun, namun masih kuat dari segi fizikal dan semangat. Dalam satu perkongsian lain, bapa kepada tujuh cahaya mata itu menceritakan bagaimana beliau mencadangkan penggunaan kerusi roda ketika ibadah sa’i, namun ibunya menolak dengan penuh yakin.

“Ibu kata masih okay, masih mampu berjalan dan mahu bersai seperti Siti Hajar RA. Di zon hijau, ibu siap berlari anak,” tulisnya.

Beliau mengakui kagum dengan kekuatan ibunya yang berjaya menyempurnakan keseluruhan ibadah umrah termasuk tawaf sejauh 2.5 kilometer (km) dan sai sepanjang 3.15km.

“Masya-ALLAH, kentalnya ibuku. Walaupun usia sudah lanjut, semangatnya masih menebal,” katanya.

Dalam masa yang sama, ikon keibubapaan itu juga turut menitipkan doa yang meruntun hati ketika di sana.

"Ya Rabb Berikan kekuatan buat ibu, panjangkan umurnya, ampunilah segala dosanya, berikan perlindungan atas usaha membesarkanku, limpahkan keberkatan dan keampunan di setiap langkah.

"Doaku di depan Kaabah buat semua para ibu," titipnya.

Difahamkan, kini ibadah umrah telah selesai dan sedang berada di Madinah.

Sekadar info, Dr Sheikh Muszaphar merupakan anak ketiga daripada lima beradik yang kesemuanya lelaki. 

Beliau pernah membawa permaisuri hatinya itu menunaikan haji pada tahun 2018.