KISAH lima sekeluarga yang meninggal dunia dalam keadaan tragis pada Selasa lalu benar-benar menggemparkan negara. Namun di sebalik angka korban itu, tersimpan satu hakikat yang lebih meruntun jiwa apabila anak kedua pasangan tersebut maut pada hari ulang tahun kelahirannya yang kedua.
Perkongsian menyayat hati itu didedahkan oleh pengurus jenazah dan ambulans percuma, Afiz Ayub menerusi hantaran di Facebook, yang menitip kronologi sebenar tragedi.
Menurut Afiz, dia bersama pasukannya berkesempatan menguruskan mandi dan kafan jenazah lelaki yang dipercayai suspek utama dalam tragedi berkenaan manakala jenazah-jenazah wanita pula diteruskan dimandi dan dikafan team muslimah.
"Doakan yang baik baik untuk keluarga lima beranak ini dan sedikit perkongsian mengenai tragis ini.
"Sewaktu kami di bilik mayat bagi tuntutan jenazah, pelbagai versi bentuk cerita yang keluar dan seperti biasa ianya hanyalah andaian sahaja. Saya pula pasti akan berpandukan punca kematian dari surat post mortem dan cerita sahih dari pihak waris.
"Asbab kelewatan sedikit kami tiba di Masjid Cherating, bagi menghormati masa yang ditetapkan iaitu perlu siapkan lima jenazah untuk dihantarkan ke kubur sebelum Mahgrib," jelasnya.
Sewaktu menguruskan jenazah lelaki, waris yang turut serta menyempurnakan jenazah tersebut sangat sedih dan tidak mempercayai apa yang berlaku.
Menurutnya lagi, suasana ketika itu amat memilukan apabila ahli keluarga terdekat masih terkejut dengan tragedi yang berlaku sekelip mata menyifatkan suspek yang sangat baik dan tidak mempunyai sebarang masalah.
"Suspek juga dikatakan peramah dan selaku anak kedua sempat bermesej tanya khabar kepada adik- beradik lain. Ini juga dapat disahkan oleh jiran sebelah dan pengerusi taman yang menceritakan suspek dan keluarga sangat baik perlakuannya," kongsinya.
Difahamkan, rumah teres setingkat tersebut merupakan milik keluarga suspek yang dibeli sejak tahun 2009, iaitu ketika awal pembukaan taman perumahan berkenaan.
Lelaki berusia 32 tahun yang berasal dari Pahang dan sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori di Selangor sebelum pulang ke negeri asalnya bulan lalu.
Malah, dia juga dikatakan baru memulakan pekerjaan baharu sebagai pengawal keselamatan kira-kira seminggu sebelum kejadian.
"Sebelum hari kejadian, suspek terlibat kemalangan motosikal dan mengalami kecederaan semasa pulang dari tempat kerja.
"Menurut keluarganya lagi, sebelum ini, tiada cerita daripada arwah ibu atau suspek mengenai masalah kewangan atau sebaliknya.
"Cuma apa yang berlaku pada waktu Subuh hari kejadian, sebelum itu suspek dan isterinya yang berusia 33 tahun berasal dari Terengganu ada berbalah ketika berpindah ke Pahang.
"Tak sangka pula perbalahan ini berlarutan hingga suspek mengakhiri nyawa isterinya di atas katil di bilik tidurnya dengan punca kematian tikaman di leher," kongsi Afiz yang membenarkan perkongsian oleh SinarPlus.
Menurutnya lagi, bising susulan pertengkaran itu menyebab seisi rumah terjaga dalam keadaan panik tanpa menyedari tragedi besar yang sedang berlaku.
Kata waris, arwah ibu yang berusia 56 tahun sempat meminta suspek mengucap selepas lelaki itu menikam isterinya.
"Suspek telah menyerang ibunya di dapur dengan tikman yang sama. Ibunya sempat meminta anaknya (adik suspek) keluar dari rumah dan memanggil bapa saudaranya yang tinggal berhampiran meminta bantuan.
"Pada jam 7 pagi, adik suspek bersama bapa saudaranya tiba di tempat kejadian dan melihat lima keluarga itu tidak lagi bernyawa dengan berlumuran darah.
Menurutnya, daripada penceritaan waris tiada campur tangan orang ketiga atau apa-apa barangan terlarang dan suspek juga tiada masalah mental.
"Ia berlaku dengan pantas asbab dari perbalahan rumah tangga hingga tidak dapat mengawal diri sendiri menyebabkan kematian orang yang tidak bersalah.
"Semalam sekitar jam 6.30 petang kesemua jenazah di hantar ke kubur Cherating dan ditanamkan berasingan demi menjaga maruah keluarga. Alhamdulillah ke semua jenazah selamat dikebumikan sebaiknya," titipnya lagi.
Terdahulu, media melaporkan jenazah mangsa wanita, Nurul Asshiykin Kamaruzaman, 33, dua anak perempuan, Nur Sumayyah Humairah, 2, dan Saffiyah Humairah, 5, serta ibu mentuanya, Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56, dikebumikan dalam satu liang lahad Tanah Perkuburan Islam Cerating pada Rabu.
Sementara itu, jenazah suami iaitu suspek dikebumikan dalam liang lahad berasingan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, motif kejadian dipercayai kerana masalah kewangan dan difahamkan suspek tidak mempunyai rekod rawatan kesihatan mental.
Sumber: Afiz Ayub