Dari rasa bersalah hingga jadi ‘saham akhirat’: Kisah inspirasi Ezuan Husaini, pendandan rambut untuk pesakit & warga emas

Iklan

KADANG-kadang, pengalaman pahit dalam hidup boleh menjadi titik tolak yang membentuk seseorang. 

Bagi Ezuan Husaini Rosli, 33, detik menyesal kerana menangguhkan permintaan neneknya lapan tahun lalu bukan sekadar memori sedih, tetapi menjadi pendorong untuk mengabdikan diri dalam bidang dandanan rambut dengan cara yang unik, membantu mereka yang uzur dan tidak lagi mempunyai harapan sembuh.

Iklan
Iklan

Segalanya bermula pada 2018, ketika Ezuan memenuhi hajat neneknya yang berusia 80 tahun untuk memotong rambut. 

Iklan

Hanya sejam selepas itu, nenek tercinta meninggal dunia akibat sesak nafas. 

“Abah cakap nasib baik saya sempat potong rambut, tapi walaupun sempat, saya tetap terkilan sebab dia dah minta berkali-kali sebelum ini,” luah Ezuan ketika ditemu bual Bernama.

Iklan

Dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam dandanan rambut, Ezuan memutuskan untuk menawarkan kemahirannya secara percuma kepada mereka yang uzur atau terlantar akibat penyakit serius. 

Baginya, memastikan pesakit kanser, tumor, atau warga emas berada dalam keadaan kemas dan terurus sebelum pergi adalah “saham akhirat” yang tiada ternilai.

Biasanya, Ezuan menerima maklumat pesakit melalui ibu, saudara-mara, kenalan, atau waris pesakit itu sendiri. 

Misi hidup

Setiap pengalaman menggunting rambut bukan sekadar rutin, tetapi penuh penghayatan. Salah satu detik paling menyentuh hatinya adalah ketika merapikan rambut Allahyarham bekas guru, Nassry Mardee Ismail, atau lebih mesra dipanggil ‘Cikgu E’, yang meninggal akibat tiga jenis kanser tahun lalu. 

“Sambil menggunting, saya berdoa agar setiap helaian rambut yang jatuh adalah seperti jatuhnya dosa-dosa Cikgu E, sambil menginsafi diri bahawa nyawa ini milik Allah jua,” katanya.

Minat Ezuan pada dandanan rambut bermula sejak bangku sekolah rendah, pada usia 11 tahun, ketika sering diperkenalkan kepada penggayaan rambut oleh bapa saudaranya. 

Bakatnya mula disedari ketika berusia 13 tahun, ketika seorang senior sekolah meminta Ezuan merapikan rambutnya untuk pertandingan kawad kaki. 

“Dia mahu rambut dia macam polis. Saya tiada pengalaman, tapi ambil gunting RM5 dan sikat biasa… dan tak sangka senior itu puas hati,” kenangnya dengan senyuman.

Pada 2015, Ezuan membuka Moss Barbershop, hasil dari minat dan bakat yang sudah ditanam sejak kecil. 

Kini, bukan sekadar perniagaan, tetapi misi hidup, menggunting rambut sambil memberi ketenangan, menghargai insan yang uzur, dan meninggalkan jejak kebaikan yang abadi.