ANAK sulung pelakon Amyza Aznan, Andre Mikhail Khairil Izhar kembali ke rahmatullah kira-kira 10.15 malam, Isnin akibat kanser paru-paru.
Berita duka itu dikongsikan Amyza sendiri menerusi Insta Story.
"Assalamualaikum, dengan dukacita anak saya Andre Mikhail Khairil Izhar telah pulang ke negeri yang abadi.
"Minta semua sedekahkan al-Fatihah kepada anak saya," titipnya.
Lapor mStar, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di hospital.
Terdahulu, Amyza memberitahu ingin membawa Andre pulang ke rumah dan telah dimaklumkan agar ahli keluarga bersiap sedia atas apa jua kemungkinan.
Menerusi temu ramah media pada petang Isnin, anak kedua Amyza, Adrian Adam mendedahkan, abangnya sedang dalam keadaan nazak dan tidak memberikan respons.
Untuk rekod, Allahyarham disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga pada Februari tahun lalu selepas mengadu sakit pada bahagian bahu.