PENYAMPAI radio dan pelakon, Sharifah Shahirah, antara rakan artis yang turut hadir menziarahi anak sulung sahabatnya, Amyza Aznan.
Shiera, 51, mengakui dia tetap mencari ruang untuk melawat walaupun jadualnya padat selepas menerima perkembangan keadaan Andre yang semakin serius.
“Saya memang cari masa untuk lari sekejap (melawat) walaupun sibuk sebab saya tahu situasinya sekarang dah agak serius berdasarkan ‘update’ yang diterima,” katanya.
Menurutnya, kesibukan masing-masing membuatkan mereka jarang bersua dan hanya mengikuti perkembangan dari jauh menerusi media sosial.
“Selalunya kami hanya tengok perkembangan masing-masing dari jauh melalui Instagram (IG) saja sebab masing-masing sibuk dengan keluarga.
"Kalau nampak dia gembira dekat IG, maknanya kami pun rasa okaylah,” ujarnya.
Mengimbau kenangan lama, Shiera berkongsi dia sudah mengenali anak-anak Amyza sejak kecil, malah pernah berada di dewan bersalin ketika Andre dilahirkan.
“Masa Amyza lahirkan Mikael (Andre Mikael) pun, saya ada sekali dalam bilik bersalin sebab kami kongsi doktor yang sama,” kongsinya.
Lebih menyentuh hati, nama ‘Andre’ sebenarnya adalah cadangan daripadanya sendiri.
“Nama ‘Andre’ itu sebenarnya saya yang bagi. Masa tu saya tengah fikir nama untuk anak saya sendiri tapi akhirnya saya tak guna nama tu.
"Saya cakap pada Amyza, ‘Aku suka nama orang putih sikit ni, Andre.’ Jadi Amyza ambil dan gabungkan jadi Andre Mikael,” dedahnya.
Anak yang mendengar kata
Walaupun jarang bertemu, hubungan mereka kekal akrab. Shiera menyifatkan arwah sebagai anak yang sangat mendengar kata dan mengutamakan keluarga.
“Sumpah cakap, Andre memang anak yang sangat mendengar, pandai jaga adik-adik. Apa-apa pun, famili jadi keutamaan pada mereka,” ujarnya dalam nada sebak.
Kongsinya lagi, Amyza juga seorang ibu yang sangat rapat dengan anak-anak.
“Amyza memang jenis ibu yang sentiasa dengan anak-anaknya. Ke mana mereka pergi akan bersama,” katanya.
Namun, apa yang paling meruntun perasaannya adalah melihat reaksi adik bongsu Amyza.
“Yang saya tak boleh tahan bila tengok adik kecilnya. Mungkin sebab Amyza sibuk, Andre yang jaga adik itu.
"Jadi, tadi pun adiknya tak mahu terlalu dekat dengan abang sebab tak sanggup.
“Semua orang tak sanggup tapi kita walau macam mana sekalipun kita kena lalui juga,” katanya.
Untuk rekod, Andre Mikhail menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 10.15 malam Isnin selepas bertarung dengan kanser paru-paru tahap empat.
Allahyarham berusia 20 tahun dan sebelum ini menerima rawatan di HKL selama beberapa hari.
Berita duka itu dikongsikan sendiri oleh Amyza menerusi Instagram Stories miliknya.