BULAN Ramadan ini, suara al-Quran yang dibawa oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bergema di masjid di United Kingdom, Australia dan Singapura.
Ini berikutan empat pelajar daripada universiti tersebut terpilih menjadi imam sepanjang Ramadan melalui Program Qari in Residence. Sekali gus memahatkan nama universiti berkenaan di persada antarabangsa.
Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata pemilihan pelajar yang berlangsung dari 16 Februari hingga 21 Mac itu membuktikan UPSI mampu melahirkan pelajar tahfiz berkualiti yang diiktiraf institusi Islam luar negara.
Pelajar yang terlibat termasuk Adib Farhan Baharudin, jurusan Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan dari Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), yang mengimamkan solat di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom.
Sementara itu, Ahmad Al Mustafa Mohd Azmi menjadi imam di Malaysian Hall Perth, Australia, manakala dua lagi pelajar, Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli dan Muhd Farhan Hakimi Khairul Aizam, berkhidmat di Masjid al-Ghufran, Singapura.
Tidak ketinggalan, tenaga pengajar dan Penasihat Persatuan Tahfiz UPSI, Ah-Luqman Al-Hakim Che' Zahari, dari Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami FSK, turut diberi kepercayaan mengimamkan solat di Masjid Dar al-Iman dan Malaysian Hall Sydney, Australia.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja membanggakan UPSI, malah membuktikan potensi besar institusi pendidikan tempatan dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu al-Quran di peringkat global.
"Ia selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan modal insan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menjadi duta ilmu, sahsiah dan nilai Islam,” kata Md Amin.
Dalam perkembangan lain, UPSI kini sedang membina Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (-Furqan) di atas tapak seluas 7.2 hektar di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Tanjong Malim.
Institut berkenaan menggabungkan sistem pondok dengan pendidikan arus perdana dan bakal menjadi pusat kajian utama berkaitan pendidikan tahfiz di negara ini.– Bernama