BELUM sempat menikmati manisnya fasa awal perkahwinan, seorang wanita muda diuji dengan dugaan yang tidak pernah terbayang apabila suami tercinta kini terlantar koma selepas menjadi mangsa ragut awal Januari lalu.
Bagi Rosirdawatie Aziz, 27, kehidupan yang sebelum ini dipenuhi perancangan masa depan bersama suami bertukar sekelip mata apabila Mazrie Ismail, 30, terlibat dalam kejadian ragut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Menurut Rosirdawatie, insiden tersebut berlaku sekitar jam 7 pagi pada 8 Januari lalu di Kampung Merkang, ketika suaminya menuju ke Cherang Tuli, Pasir Puteh.
“Suami bekerja sebagai pemandu di Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Ketika dalam perjalanan, dia dipercayai diragut oleh dua lelaki sebelum motosikalnya terjatuh di atas jalan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Akibat kejadian itu, topi keledar yang dipakai Mazrie dilaporkan pecah, menyebabkan kecederaan serius termasuk pendarahan di dalam kepala.
Lebih menyayat hati, Mazrie ditemukan tidak sedarkan diri oleh bapa saudaranya sendiri yang kebetulan melalui jalan sama kira-kira 15 minit selepas kejadian.
“Tiada luka luar atau darah pada badan suami, tetapi dia langsung tidak sedarkan diri,” ujarnya.
Menurut laporan doktor, Mazrie mengalami pendarahan dalam otak dan sehingga kini masih berada dalam keadaan koma.
Rosirdawatie turut memaklumkan terdapat saksi yang melihat kejadian tersebut, namun jarak yang jauh menyebabkan suspek gagal dikenal pasti.
“Saksi nampak dua lelaki menarik beg suami sehingga dia terjatuh,” katanya lagi.
Mangsa pada awalnya dibawa ke Hospital Tengku Anis sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai. Selepas beberapa ketika, Mazrie dibenarkan pulang ke rumah sebelum kembali menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II apabila mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.
Kini, selepas lebih 50 hari berlalu, keadaan suaminya masih belum menunjukkan tanda-tanda sedar.
Pasangan yang menetap bersama keluarga suami di Kubang Telaga itu baru sahaja enam bulan melayari alam rumah tangga. Mazrie merupakan anak kedua daripada empat beradik.
Bagi Rosirdawatie, rutin hariannya kini berubah sepenuhnya, dari seorang isteri yang berkongsi cerita harian bersama pasangan, kepada insan yang setia menunggu di sisi katil hospital.
“Saya hanya mampu tengok wajah dia setiap hari dan berdoa supaya suatu hari nanti dia buka mata,” katanya penuh harapan.
Tambahnya lagi, Ramadan dan Aidilfitri tahun ini sepatutnya menjadi detik istimewa pertama buat mereka sebagai suami isteri.
“Banyak benda yang kami rancang. Tahun ini juga kali pertama kami nak berpuasa dan sambut raya bersama,” luahnya.
Sejak suaminya koma, pasangan tersebut kehilangan sumber pendapatan utama dan kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan ahli keluarga serta orang sekeliling.
Dalam keadaan serba mencabar itu, Rosirdawatie tetap kuat meneruskan hari-hari mendatang dengan satu harapan yang tidak pernah padam.
“Hanya ALLAH tahu perasaan saya sekarang. Saya cuma mahu suami sedar dan kembali seperti dulu,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban pasangan ini boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank 151258771167.