SIAPA sangka, di sebalik senyuman ceria dan suspek hilai tawa yang sering menghiburkan kita, rupa-rupanya terselit satu kisah duka yang dipendam kemas oleh cef selebriti tersohor negara, Datuk Cef Wan.
Meniti jambatan usia dengan status lagenda dalam dunia kulinari bukanlah satu perjalanan yang mudah. Mengenang kembali fasa kanak-kanaknya, Cef Wan mendedahkan coretan hiba yang pernah melukai emosinya, hanya kerana sekeping hati yang ikhlas mahu meringankan beban si ibu di dapur.
Menerusi sedutan klip video daripada podcast Studio Sembang, pemilik nama sebenar Redzuawan Ismail itu membuka tirai rahsia tentang kata-kata keluar dari mulut seorang bapa yang pernah meragut keyakinan dirinya suatu ketika dahulu.
Beliau akui, kerap meluangkan masa membantu ibunya memasak telah mengundang persepsi negatif, sehinggakan bapanya sanggup melontarkan kata-kata yang cukup mengguris perasaan dan membekas di hati selama bertahun-tahun.
"Kenapa duduk dekat dapur dan asyik tolong mak sahaja? Nanti dah besar nak jadi pondan?
"Daripada berasa bangga dengan saya, ayah hanya memandang saya dan berkata, ‘saya nak kamu keluar dari dapur," ungkap Cef Wan dengan nada yang sarat emosi sewaktu mengimbas kembali momen hitam tersebut.
Bagaimanapun, baginya, sikap prejudis dan amaran keras si bapa sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk terus berbakti. Sifat empati melihat ibunya bertungkus-lumus menguruskan tujuh orang adik-beradik yang lain membuatkan beliau mengetepikan ego seorang lelaki demi sebuah tanggungjawab.
Ibu jadi pelindung
Mujurlah, arwah ibunya sentiasa menjadi 'pelindung' dan terus memberikan sokongan moral untuk beliau kekal berada di ruang dapur itu.
"Walaupun bapa tidak suka, saya tidak ambil peduli. Mak saya pula ‘come, come, come. Mak banyak kerja’.
"Adik pula tujuh orang dan mak selalu bela saya," dedahnya lagi.
Mengambil iktibar daripada episod duka itu, Cef Wan menitipkan pesanan mendalam buat masyarakat hari ini tentang kepentingan melatih anak-anak dengan kerja domestik.
Baginya, mendedahkan anak-anak dengan ilmu dapur bukanlah soal jantina, sebaliknya ia adalah tentang kemahiran asas kelangsungan hidup (survival skills), membentuk jati diri yang bertanggungjawab, serta mendidik mereka agar tidak kekok berdikari.
Realitinya hari ini, ramai ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak sehingga mengabaikan aspek penting ini yang sepatutnya menjadi acuan utama dalam institusi kekeluargaan.