DI sebalik vokal mantap dan imej anggunnya di atas pentas, rupa-rupanya penyanyi popular Aisha Retno ada sisi gila-gila yang ramai tak tahu.
Malah bagi pelantun lagu Jodoh Lebaran, Threads menjadi 'port' paling sempoi untuk dia menunjukkan diri asalnya yang sebenar tanpa perlu berlakon atau berpura-pura semata-mata demi menjaga reputasi sebagai seorang selebriti.
Sambil berseloroh, Aisha secara terbuka mengakui watak aslinya di luar pentas memang jauh lebih santai dan suka menghiburkan orang sekeliling.
"Saya akan mencuba untuk menjadi orang yang lucu yang mungkin ada beberapa orang yang tidak tahu bahawa saya adalah seorang penipu.
"Mungkin orang akan tahu saya berbeza, tetapi saya hanya berusaha untuk menjadi diri saya sendiri.
"Kadang-kadang kita pun tak penat-penat bernyanyi atau jadi intimate dengan penonton," katanya berkongsi tentang personaliti dirinya yang sebenar.
Pendekatan jujur itu ternyata memikat hati peminat yang suka melihat gaya bersahajanya sekali gus merapatkan lagi hubungan antara artis dan peminat.
Sambil ketawa, Aisha juga tidak segan berkongsi sifat spontannya yang melucukan kepada umum.
"Jadi, ada penonton yang tahu bahawa saya sebenarnya adalah seorang tingtong. Jadi, tidak ramai yang tahu.
"Saya rasa itu adalah cara yang sangat menyeronokkan untuk melakukannya," ujarnya.
Kalau sebut tentang aplikasi Threads, ramai yang label platform itu sebagai tempat yang toksik dan penuh dengan drama netizen.
Bagaimanapun, bagi Aisha, persepsi negatif itu boleh diubah menjadi sesuatu yang positif kalau kena dengan caranya.
Selain tempat suka-suka, Aisha menganggap platform digital berkenaan sebagai strategi terbaik untuk mempromosikan perkembangan kerjaya seninya dengan cara yang lebih halus tanpa nampak terlalu memaksa.
“Sebenarnya saya buka akaun Threads ketika mempromosikan lagu Jodoh Lebaran beberapa bulan lalu tanpa bimbingan sesiapa.
"Jadi, ia juga adalah cara yang halus untuk kita promo lagu, mengenali diri kita dengan lebih dalam lagi dengan orang-orang yang ada dalam Threads.
“Masa mula-mula guna, kandungan yang muncul semuanya lawak. Jadi saya pun cuba ikut serta dan jadi kelakar juga.
"Selain itu, platform ini juga boleh menjadi seperti kita buat kawan, tetapi pada masa yang sama, kita buat kerja.
"Pada saya ia sangat menyeronokkan," jelasnya lagi yang menyifatkan proses bekerja sambil bermain media sosial ini sebagai sesuatu yang sangat menghiburkan.
Menjawab mengenai dakwaan kononnya Threads merupakan lubuk toksik, wanita berusia 25 tahun itu ada jawapan tersendiri berdasarkan apa yang dilaluinya sendiri sepanjang menguruskan akaun berkenaan.
"Untuk platform Threads yang dengar-dengar toksik sebelum ini, saya rasa itu dulu. Tetapi, sejauh ini, pada masa yang sama, semua kelakar-kelakar dalam Threads saya.
"Kelakar-kelakar yang membina. Mungkin ada satu atau dua (negatif), saya rasa itu biasa. Orang kan bebas berpendapat.
"Jadi, setakat ini, yang tidak mengganggu hidup kita, kita layankan sahaja. Mungki juga ada segelintir yang tidak tahu, saya ini sebenarnya agak ‘ting tong’.
"Jadi apabila di platform itu saya cuma jadi diri sendiri. Soal digelar ‘Ratu Kacip’, pada saya okay sahaja, tak kisah pun," ulasnya.
Oleh sebab itu, dia yang juga komposer dan penulis lirik memilih untuk tidak memusingkan kepala dengan komen negatif kerana matlamat utamanya adalah untuk fokus kepada peminat dan kerja seni sahaja.
Memandangkan anak jati Kuala Lumpur itu menguruskan sendiri akaun tersebut tanpa bantuan pembantu peribadi, segala hantaran yang dibuat adalah ekspresi tulen dirinya sendiri.
"Memang, pada masa yang sama, kembali kepada jawapan saya, saya hanya ingin mempromosikan lagu-lagu saya.
"Tugas kita sebagai artis, kalau ada produk, kita promote. Jadi, apabila saya mempunyai terlalu banyak lagu-lagu dalam Threads, memang saya pegang akaun itu sendiri.
"Dan saya rasa itu adalah bahagian yang terbaik. Kita boleh menjadi diri kita sendiri," katanya bersungguh-sungguh.
Menghormati privasi
Kongsinya lagi, menjadi diri sendiri di media sosial sebenarnya boleh menjadi satu terapi yang menyeronokkan, asalkan batas dan prinsip diri tetap dijaga sebaiknya.
Keaktifannya di Threads bagaimanapun mula mendapat usikan nakal daripada peminat yang gemar mengusik penampilannya di sana.
Bagaimanapun, bekas graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi tersebut menganggap perkara tersebut sebagai usikan manja yang menceriakan suasana, asalkan masing-masing tahu menghormati privasi dan ruang peribadi.
"Mungkin ada beberapa individu yang kata macam, Aisyah, kenapa kacip sangat? Sudahlah, jadi Puteri Gunung Ledang sekejap lagi. Kita tahu batas kita semua.
"Selagi kita boleh menghiburkan orang dengan side kita yang bukan sebagai seorang penyanyi, kenapa tidak?" bicara penuh dengan matang.
Mengulas lanjut dia lebih selesa mengambil pendekatan positif dan menganggap kritikan kecil netizen sebagai asam garam biasa dalam dunia digital.
Aisha berkata demikian ketika ditemui SinarPlus sewaktu majlis pelancaran single lagu Diari Air Mata.
Dalam perkembangan berkaitan, pemilik nama sebenar, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam menyifatkan, lagu ciptaan dan terbitan Ajai di bawah naungan Usanita Entertainment itu.
"Berpeluang bekerjasama dengan Ajai yang juga penggubah Diari Air Mata, sememangnya satu penghormatan buat saya.
"Waktu bertemu, kami duduk dan Ajai minta saya bercerita mengenai episod cinta yang kecundang.
“Siapa sangka, pengalaman tersebut membolehkan saya lebih menghayati sementelah nukilan Ajai cukup indah dan sarat emosi hingga saya menangis di dalam studio," dedahnya lagi.