PENGARAH dan penerbit terkenal, Dato Norman Abdul Halim dari KRU tampil dengan perkongsian eksklusif di Instagram mengenai pengalaman beliau sebagai pengarah, sebuah projek filem animasi di bawah KRU yang juga menandakan filem ke-28 produksi tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim bakal menerbitkan filem animasi terbaharu, Zan Orangutan.
"Filem ini merupakan filem ke-28 KRU Studios dan juga filem pertama arahan saya. Saya juga yang menulis skrip filem ini, jadi ini merupakan pengalaman pertama saya sebagai pengarah.
"Sebelum ini memang sukar untuk mengarah mana-mana filem live action kerana ia satu cabaran besar untuk berada di set. Oleh sebab saya mempunyai jadual yang sangat ketat, jadi mengarah filem animasi ini memang sesuai dengan jiwa dan kemampuan saya," ujarnya.
Istimewa, filem ke-28 KRU Studios dan pertama arahannya itu membawa identiti Malaysia. Norman berkata, baginya tidak ramai tokoh yang mempunyai identiti dan aura dekat dengan masyarakat Malaysia untuk membawa watak India dan memilih Sathiya.
Menurut Norman, apabila memikirkan karakter tersebut, hanya satu nama terus muncul di fikirannya.
"Sebenarnya, apabila memikirkan watak ini, saya terus teringat kepada kawan lama saya iaitu Sathiya. Pertemuan pertama kami adalah ketika Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada awal tahun 1990-an. Ketika itu saya menjadi tetamu undangan dan di situlah saya mula mengenalinya. Kami tidak begitu rapat, tetapi saling mengenali sebagai kawan.
"Ada beberapa peluang untuk bekerjasama sebelum ini dan kali terakhir kami bekerjasama ialah menerusi filem Cicakman 3, yang mana beliau berlakon sebagai Presiden Metropolis. Di situlah kali terakhir saya berjumpa dan melakukan sebarang aktiviti bersama Sathiya.
"Sebelum ini saya juga agak rapat dengan mendiang Acapan, tetapi kalau mengikut tokoh yang dekat di hati orang Melayu dan rakyat Malaysia berbahasa Melayu, saya rasa hanya dua tokoh ini yang saya boleh fikirkan untuk membawa watak tersebut. Namun kini hanya tinggal seorang sahaja," kongsinya.
Norman berkata, Sathiya menerima tawaran tersebut dengan mudah selepas beliau menerangkan latar belakang watak Roti serta peranannya dalam filem berkenaan.
"Keadaan dia sekarang baik cuma peluang untuk berlakon secara biasa mungkin agak terhad. Jadi saya rasa untuk merakamkan suara sebagai salah satu watak utama atau watak pembantu utama dalam filem ini, ia tidak mendatangkan sebarang masalah kepada beliau.
"Dia cuma memaklumkan bahawa ketika sesi rakaman nanti kami perlu menjemputnya, dan itu bukanlah satu masalah kerana perkara tersebut biasa dilakukan.
"Jadi saya membuat tawaran kepadanya untuk membawa watak ini dan dengan mudah sahaja dia menerima. Saya turut menunjukkan gambar-gambar watak tersebut iaitu watak Roti serta menerangkan latar belakang dan peranan," tutur Norman kepada SinarPlus.
Difahamkan, proses rakaman suara dijangka akan berlangsung pada Julai depan.