MELAYARI alam perkahwinan bukan sekadar berkongsi bahagia, sebaliknya turut membuka ruang untuk mengenali pasangan dari sisi yang mungkin belum pernah dilihat sebelum ini.
Bagi pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, lebih sebulan bergelar isteri kepada ahli politik, Syed Saddiq, masih terlalu awal untuk menganggap mereka sudah benar-benar memahami selok-belok kehidupan bersama.
Sebaliknya, pasangan itu kini menikmati proses saling mengenali, menyesuaikan rutin harian serta memahami tanggungjawab masing-masing selepas sekian lama menjalani kehidupan secara berasingan.
Bella yang menerima penghargaan Nona People's Choice Awards pada NONA Gala Awards 2026 meluahkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut, namun dalam masa sama mengakui kehidupan berumah tangga masih memerlukan banyak penyesuaian.
“Sebenarnya lebih kepada kita masih sedang saling belajar tentang kehidupan masing-masing. Sebelum ini kita tinggal berasingan dan sudah tentu dari segi kerjaya, kita ada kerjaya yang berbeza. Jadi, kita tengah cuba untuk saling memahami, insya-Allah,” katanya ketika ditemu bual Media Hiburan.
Bagi Bella, fasa awal perkahwinan memberi peluang kepada mereka untuk memahami karakter, kebiasaan dan cara pasangan menjalani kehidupan, sekali gus membina keserasian dalam suasana baharu.
Justeru, dia tidak mahu meletakkan tekanan untuk semuanya berjalan sempurna dalam tempoh singkat, sebaliknya memilih untuk menikmati proses tersebut dengan tenang.
Honeymoon tunggu masa sesuai
Berkongsi perancangan berbulan madu, Bella memberitahu mereka belum berkesempatan untuk bercuti bersama kerana Syed Saddiq perlu menyelesaikan komitmen yang masih berlangsung.
Bagaimanapun, Bella tidak menjadikan perkara itu sebagai desakan kerana memahami masing-masing mempunyai urusan yang perlu diberi keutamaan, termasuk menyesuaikan diri di kediaman baharu.
“Jadi, banyak perkara yang jauh lebih penting yang saya tengah fokus. Honeymoon itu bonus, tak adalah paksa-paksa,” ujarnya.
Meskipun belum mempunyai perancangan percutian romantis berdua, Bella bersyukur apabila kehadiran Syed Saddiq dalam kehidupan anak-anak diterima dengan baik.
Baginya, melihat mereka gembira dan selesa dengan perubahan dalam keluarga menjadi perkara paling penting, malah jauh lebih bermakna berbanding memenuhi perancangan lain dalam masa terdekat.
“Alhamdulillah, dipermudahkan. Mereka very happy. Selalunya budak-budak ini susah kita nak bagi mereka faham, tapi sebab mereka bahagia, mereka happy. Itu jauh lebih pentinglah,” ungkapnya.
Selepas melalui pelbagai persiapan dan menyelesaikan keempat-empat majlis perkahwinan, Bella turut mengakui berasa lega apabila segala urusan selesai.
Kini, dia mahu kembali menjalani kehidupan seperti biasa dan menikmati fasa baharu bersama keluarga tanpa perlu terlalu memikirkan perkara yang belum sempat dilakukan.
Buat Bella, kebahagiaan rumah tangga bukan diukur melalui seberapa cepat mereka dapat pergi berbulan madu atau seberapa sempurna kehidupan yang dipamerkan, tetapi bagaimana dua insan saling memahami, memberi ruang dan membina kehidupan bersama sedikit demi sedikit.
Sumber: Video Media Hiburan