Bella Astillah jawab dakwaan nikah 26 Jun, pilih fokus kes mahkamah Syed Saddiq selesai - 'Tiada istilah ikut tarikh cantik'

Iklan

DISELIMUTI pelbagai gosip cinta sejak mengumumkan ikatan pertunangan Mac lalu, pasangan sensasi Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekali lagi menjadi bualan hangat netizen.

Kali ini, bertiup kencang khabar angin di media sosial mendakwa pasangan merpati dua sejoli ini bakal disatukan sebagai suami isteri pada tarikh cantik, 26 Jun ini.

Iklan
Iklan

Memetik Kosmo Online, Bella bagaimanapun tenang menepis spekulasi tersebut dan menegaskan tiada sebarang persiapan perkahwinan yang sedang rancak dilakukan ketika ini.

Jelas penyanyi lagu Lebih Indah Berpisah itu, tumpuan utamanya kini bukanlah pelamin atau hantaran, sebaliknya fokus seratus peratus terhadap keputusan rayuan akhir kes mahkamah melibatkan tunangnya yang dijadualkan pada 30 Jun ini.

Iklan

Ibu kepada sepasang cahaya mata itu turut mengakui, mereka berdua sudah sepakat untuk menyelesaikan urusan yang lebih penting dahulu sebelum memikirkan soal hari bahagia mereka.

Iklan

"Persiapan kahwin? Tunggu selepas 30 hari bulan nanti baru saya fikirkan. Sekarang ini kami lebih fokus tentang keputusan rayuan pembebasan Syed Saddiq. Jadi sama-sama kita doakan.

"Kita fokus mana yang perlu diutamakan terlebih dahulu. Biarlah semua kes mahkamah berakhir dulu baru kita fikirkan tentang persiapan perkahwinan.

"Saya percaya ramai orang di luar sana yang mendoakan. Doa-doa kalian itu jauh lebih penting," katanya dengan nada matang.

Tarikh cantik nikah

Menafikan dakwaan sengaja memilih tarikh 26 Jun untuk bernikah, pemilik nama sebenar, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah itu menyatakan, tiada istilah mahu mengejar tarikh cantik semata-mata kerana segalanya perlu menunggu status kes mahkamah tunangnya itu selesai sepenuhnya.

Untuk rekod, Mahkamah Persekutuan menetapkan 30 Jun ini bagi keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq daripada pertuduhan melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, yang merangkumi kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Sebelum ini, pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan telah mengetepikan sabitan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada November 2023.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan sehari selepas keputusan tersebut, sekali gus menjadikan tarikh penghujung Jun ini amat kritikal buat masa depan politik dan peribadi Syed Saddiq.

Hubungan intim antara Bella dan Syed Saddiq mula dihidu rapat sejak penglibatan mereka dalam pelbagai program bersama sebelum secara rasmi mengikat tali pertunangan pada 28 Mac 2026.

Sering dilihat sebagai pasangan yang saling melengkapi dan matang mendepani ujian hidup, tidak hairanlah setiap gerak-geri mereka sentiasa menjadi radar perhatian netizen.

Apa yang pasti, buat masa ini, loceng perkahwinan terpaksa ditangguhkan demi memberi laluan kepada perjuangan keadilan Syed Saddiq di mahkamah.