'Dia adik paling kuat...' – Kakak kongsi sisi arwah Prebet Siti Khadijah, impian sambung perjuangan abah sebagai tentera berakhir duka

Iklan

BAGI seorang bapa yang pernah bergelar tentera, sudah tentu rasa bangga sangat bila tengok anak sendiri pakai uniform yang sama dan sambung legasi berkhidmat untuk negara.

Detik Sungip Jais, 65, melihat anak bongsunya melangkah masuk ke dunia ketenteraan adalah momen paling manis buat dirinya. Tapi siapa sangka, kegembiraan yang baru sahaja dirasai bertukar menjadi duka paling berat bila Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, terkorban dalam insiden letupan ketika latihan di Kem Hobart, Gurun pada hari Selasa.

Iklan
Iklan

Kehilangan mengejut itu benar-benar merentap hati seluruh keluarga yang langsung tak bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal selamanya.

Iklan

Suasana di rumah keluarga di Taman Sri Lambak penuh dengan rasa hiba bila kakaknya, Siti Zaiha, 39, berkongsi cerita tentang adik bongsunya itu.

Sambil menahan sebak, dia bercerita arwah sebenarnya pemegang Diploma Teknologi Kejuruteraan Awam dari IKBN dan menyertai tentera darat tahun lepas atas dorongan bapa mereka.

Iklan

Walaupun askar bukan cita-cita asalnya, arwah seorang yang sangat kental dan sentiasa buat yang terbaik sampai berjaya merangkul anugerah Prajurit Muda Wanita Akademik Terbaik Siri Ke-50.

Disebabkan sikapnya yang bagus, arwah sangat disenangi dan disayangi oleh pegawai-pegawai atasannya di Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

"Dia adik yang kuat dalam banyak adik-beradik. Dia masuk askar pun awalnya bukan cita-cita asal. Tetapi dia buat yang terbaik sehingga meraih anugerah.

"Bukan itu sahaja, pegawai atasannya semuanya memuji sikapnya dan sayang di sana tanpa sebarang masalah," kongsi Siti Zaiha.

Walaupun sibuk dengan latihan, arwah bagaimanapun tidak pernah lupa pada keluarga dan sentiasa aktif bersembang dalam group WhatsApp.

Perbualan  terakhir

Malah, malam sebelum kejadian, dia sempat hantar gambar ketika menjalani latihan malam bersama rakannya. Bukan itu sahaja, pagi hari kejadian pun, arwah masih sempat menghantar mesej memberitahu dirinya berada dalam kumpulan terakhir untuk latihan membaling bom tangan.

Justeru, ahli keluarga sempat berpesan supaya dia berhati-hati dan dengar arahan dengan fokus, tanpa sedar itu rupanya perbualan terakhir mereka dengan arwah.

"Dia beritahu lokasi latihan dan kami hanya mampu berpesan supaya berhati-hati. Dengar arahan jurulatih dengan teliti dan sentiasa fokus.

"Tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa itu akan menjadi perbualan terakhir kami dengannya," ungkap si kakak sambil menahan sebak.

Namun segala-galanya berubah cemas bila bapa mereka menerima panggilan daripada pegawai tentera yang memaklumkan ada kemalangan berlaku ketika latihan.

Dedah Siti Zaiha yang bekerja sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan di TUDM Kuantan itu lagi, dia terus meminta nombor pegawai tersebut untuk tahu perkara sebenar.

Bagaimanapun, luluh hati seluruh keluarga bila mendapat berita sah bahawa adik kesayangan mereka sudah meninggal dunia pada jam 12 tengah hari. Kini, kenangan arwah balik rumah seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha lalu menjadi memori terakhir yang paling berharga.

Jenazah arwah Prebet Siti Khadijah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak.

Sumber: Sinar Harian

Gambar: BERNAMA