PELAJAR cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025, Tunku Nur Syakirah Tunku Badruzzaman, 22, membuktikan status sebagai pelajar pondok dan cabaran keluarga bukan halangan untuk meraih kecemerlangan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.
Tunku Nur Syakirah bukan berasal daripada aliran pendidikan perdana, sebaliknya mendapat pendidikan awal di sekolah pondok.
Dia yang juga seorang hafizah al-Quran 30 juzuk al-Quran dari Madrasah Nurul Iman, Batu Lima, Sik berkata, keputusan untuk menduduki peperiksaan STPM dibuat selepas memikirkan masa depan dan keadaan keluarganya serta demi mencapai cita-cita sebagai guru bahasa Melayu.
Mengimbas kembali perjalanan akademiknya, Tunku Nur Syakirah mengakui laluannya sedikit berbeza berbanding remaja seusianya yang lain. Dia mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agak lewat kerana mula belajar di sekolah pondok sejak berusia 13 tahun. Bagaimanapun, dia bersyukur meraih 5A dan 1B dalam SPM .
"Saya ambil SPM lewat kerana sebelum ini saya belajar di sekolah pondok di Madrasah Nurul Iman, Batu Lima, Sik sejak berusia 13 tahun, alhamdulillah saya hafal 30 juzuk al-Quran.
"Walaupun keputusan tidak sentiasa baik, kita perlu sentiasa berusaha, memperbaiki kelemahan dan menguatkan hubungan dengan ALLAH SWT," katanya.
Dia bersama adiknya, Tunku Nur Sakinah, 20, yang sama-sama menduduki STPM dan PNGK 3.92 mengamalkan kaedah pembelajaran tersusun selain bangun seawal jam 5 pagi setiap hari untuk menguruskan bapa terlantar akibat strok sejak 10 tahun lalu.
"Kami mandikan ayah, bantu keperluannya terlebih dahulu sebelum bersiap dan pergi ke sekolah," katanya.
Anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, sebaik sahaja pulang dari sekolah, dia dan adiknya akan kembali mengambil alih tugas menjaga bapa mereka.
Tunku Nur Syakirah berkata, kejayaan itu adalah hasil pengorbanan ibunya, Sharifah Hasaniah Syed Hassan, 55, yang menjadi tulang belakang keluarga. Ibunya yang juga seorang suri rumah menguruskan keluarga serta keperluan harian mereka memandangkan si bapa memerlukan penjagaan yang rapi.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro