'Berehatlah isteri syurgaku...' - Kenal 11 tahun, hanya 39 hari bergelar suami isteri, wanita dijemput Ilahi

Iklan

JODOH, ajal dan maut semuanya ketentuan ALLAH SWT. Siapa sangka, selepas menanti selama 11 tahun untuk membina mahligai bersama, kebahagiaan yang dikecapi hanya bertahan selama 39 hari.

Itulah takdir yang terpaksa diterima seorang lelaki, Idham Kamal Hafiz apabila isteri tercinta, Sharifah Nuraqilah Nadhiratul Husna Syed Mohamad Faizal, dijemput menghadap Ilahi selepas berjuang melawan kanser otak tahap empat.

Iklan
Iklan

"Kenal 11 tahun, bercinta sembilan tahun dari pada zaman sekolah, bertunang 10 bulan berkahwin sebulan.

Iklan

"Chapter di dalam hidup saya lengkap dengan adanya awak di sisi. Saya tak tahu apa yang akan jadi dengan saya selepas ini.

"Terima kasih kerana tetap memilih saya sebagai suami awak walaupun saya banyak kurang. Before you, I was nothing. Terima kasih sayang kerana jadikan saya orang yang sekarang.

Iklan

"Cinta saya, sayang saya semuanya untuk awak sayang. Saya bersyukur adanya awak sebagai isteri saya Sharifah Nuraqilah Nadhiratul Husna Syed Mohamad Faizal. Terima kasih wanita teragungku, berehatlah isteri syurgaku," titipnya dalam satu hantaran tular di Threads.

Berkongsi lanjut dengan SinarPlus, Idham memaklumkan penyakit yang meragut nyawa isterinya itu hanya diketahui pada 27 April lalu, kira-kira empat bulan selepas mereka bertunang.

Sepanjang tempoh berkenaan, Allahyarham terpaksa menjalani empat pembedahan dalam usaha merawat penyakit yang dihidapinya.

"Isteri saya disahkan mengalami kanser otak pada 27 April tahun ini, iaitu kira-kira selepas empat bulan bertunang.

"Dalam tempoh enam bulan, dia menjalani pembedahan pemasangan ventriculoperitoneal Shunt dan biopsi.

"Pembedahan ketiga buang tumor sebanyak 70 peratus. lapan hari selepas sedar daripada pembedahan itu, dia mengalami sawan.

"Pembedahan keempat dilakukan untuk menyelamatkan nyawanya yang kritikal," coretnya.

Selepas sekian lama bersama, kehilangan insan yang menjadi teman hidup pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk diterima.

Idham turut berkongsi kenangan terakhir bersama Allahyarham yang cukup bermakna apabila dia berpeluang menyuapkan makanan kepada isterinya ketika berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Lebih menyentuh hati, Allahyarham yang merupakan anak sulung turut meninggalkan amanah buat suami agar menjaga adik-adik serta keluarga selepas pemergiannya.

"Arwah sangat sayangkan adik-adiknya. Dia juga berpesan agar saya tengokkan keluarganya terutama ibu,ayah dan datuknya," kongsinya.

Dalam pada itu, pasangan berkenaan sepatutnya diraikan dalam sebuah majlis persandingan yang dijadualkan berlangsung pada 6 Disember ini.

Bagaimanapun, perancangan itu terpaksa ditangguhkan bagi memberi keutamaan kepada rawatan dan pembedahan membuang tumor yang dijalani Allahyarham pada 3 November lalu.

Menerusi perkongsian di Threads, keluarga Allahyarham turut meluahkan kesedihan apabila impian untuk meraikan hari bahagia bersama-sama akhirnya tidak kesampaian.

"Sepatutnya 6 Disember ini  berlangsung majlis sanding atas persetujuan keluarga untuk memberi keutamaan kepada pembedahan membuang tumor pada 3 November lalu, kami sepakat menangguhkan dahulu majlis di Kulim sehingga Qila kembali sihat.

"Kami simpan harapan untuk meraikan hari bahagia itu bersama Qila apabila dia sembuh nanti. Namun, ALLAH sebaik-baik perancang.

"Rupanya, bukan majlis itu yang tertangguh sementara, tetapi Qila yang terlebih dahulu dijemput pulang ke pangkuan ALLAH SWT.

"Ada perancangan yang tidak sempat menjadi kenyataan. Ada harapan yang akhirnya hanya tinggal kenangan. Al-Fatihah, anak syurga ummi dan ayah," coretnya.