DAHULU, kalau sebut tentang wanita ke gimnasium atau mengangkat berat, pasti ada sahaja pandangan sinis yang kedengaran.
Ada yang menganggap senaman sedemikian hanya untuk atlet atau individu yang mahu membina tubuh berotot, malah tidak kurang juga yang mempercayai mitos seperti latihan beban boleh 'jatuh peranakan' atau menjejaskan kesihatan wanita.
Namun, persepsi itu kini semakin berubah seiring peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan gaya hidup sihat.
Bagi pempengaruh kecergasan, Ain Ramli, perubahan tersebut amat ketara jika dibandingkan dengan beberapa tahun lalu apabila ramai masih belum memahami kepentingan membina kekuatan otot.
"Hakikatnya, otot sangat penting untuk fungsi harian tubuh, membantu kita bergerak dengan lebih baik, mengekalkan kekuatan apabila meningkat usia dan menyokong kesihatan untuk jangka masa panjang," katanya.
Menurut Ain, menjaga kesihatan bukan bergantung kepada cara berpakaian atau gaya hidup seseorang. Sama ada bertudung atau tidak, setiap individu perlu memberi perhatian terhadap kesihatan diri.
Katanya lagi, antara salah faham yang masih sering didengari sehingga hari ini ialah tanggapan bahawa wanita tidak sesuai melakukan latihan beban.
"Ramai masih percaya angkat berat boleh menyebabkan jatuh peranakan atau merosakkan badan. s.
"Kalau dilakukan dengan teknik yang betul, dipantau dengan baik dan disokong pemakanan yang seimbang, latihan beban sebenarnya membantu membina tubuh yang lebih kuat dan sihat," jelasnya.
Tambah Ain, matlamat utama melakukan senaman bukanlah untuk mengejar bentuk tubuh sempurna semata-mata, sebaliknya membina versi diri yang lebih sihat dari aspek fizikal dan mental.
Gaya hidup sihat bukan perlumbaan
Dalam pada itu, Ain mengakui antara cabaran terbesar yang sering dibangkitkan masyarakat ialah kos untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
Menurutnya, ramai beranggapan pemakanan berkualiti atau produk kesihatan terlalu mahal sehingga sukar dijadikan rutin.
Bagaimanapun, beliau berpandangan setiap individu mempunyai pilihan mengikut kemampuan masing-masing.
"Setiap orang ada cara tersendiri dalam memilih makanan atau rutin kesihatan. Tidak semestinya semua orang perlu mengikut cara yang sama," ujarnya.
Dalam masa sama, Ain mengingatkan bahawa perubahan gaya hidup tidak perlu dilakukan secara drastik.
Sebaliknya, katanya, amalan sihat perlu dibina sedikit demi sedikit agar lebih mudah dikekalkan dalam jangka panjang.
"Apabila usia semakin meningkat, risiko pelbagai penyakit juga bertambah. Sebab itu pemilihan makanan yang baik dan rutin senaman yang konsisten sangat penting," katanya.
Akhirnya, gaya hidup sihat bukanlah tentang siapa paling pantas berubah atau memiliki tubuh paling sempurna, tetapi bagaimana seseorang menghargai tubuh sendiri dengan membuat pilihan yang lebih baik setiap hari.
Kerana kesihatan bukan sekadar untuk hari ini, tetapi pelaburan berharga demi menikmati kehidupan yang lebih berkualiti pada masa hadapan.
Perkongsian itu selari dengan konsep The NOBO Table, sebuah pengalaman makan tengah hari yang menghimpunkan wakil media, pencipta kandungan dan komuniti kreatif tempatan menerusi gabungan makanan, seni serta budaya.
Dianjurkan hasil kolaborasi NOBO Soy bersama Ain Ramli dan pencipta kandungan gaya hidup, Azfar Heri, acara tersebut mengetengahkan idea bahawa sesuatu yang biasa boleh diberi nafas baharu apabila dilihat daripada perspektif berbeza.
Malah, ruang acara turut dihiasi dengan instalasi seni interaktif bertajuk Aku Sebiji Kacang Soya hasil karya artis multidisiplin, Dhan Illiani, yang menggabungkan elemen nostalgia, tekstil dan penyertaan kreatif sehingga menjadikan ruang kafe seakan-akan sebuah galeri seni.
Lebih daripada sekadar memperkenalkan menu kolaborasi bersama Dona Bakehouse, pertemuan itu turut menjadi platform santai untuk berbincang tentang gaya hidup, kreativiti dan kepentingan membuat pilihan yang lebih baik dalam kehidupan seharian.