'Sayangnya abah tak sempat tengok...' - Anak tekad sambung legasi arwah bapa, kisah dua generasi LRT3 ini sentuh hati ramai

Iklan

KADANGKALA, takdir Tuhan itu sangat indah apabila dia memilih kita untuk menyambung semula impian dan perjuangan orang yang paling kita sayang.

Di saat warga kota sedang sibuk bercerita dengan penuh teruja tentang pembukaan laluan baharu LRT3 Shah Alam baru-baru ini, rupa-rupanya terselit satu kisah air mata di sebalik tabir besi landasan kereta api itu.

Iklan
Iklan

Sebuah perkongsian hiba daripada seorang anak yang meneruskan legasi arwah bapanya telah meruntun hati sesiapa sahaja yang membaca, sekali gus menjadi bukti bahawa kasih sayang seorang ayah itu rupa-rupanya tidak pernah mati, malah terus hidup dalam setiap titik keringat si anak.

Segalanya bermula apabila seorang jurutera penyelenggaraan, Emir Irfan Mohd Zufri, memuat naik dua keping gambar yang membawa makna sangat mendalam di aplikasi Threads miliknya emir_tractiondrive.

Iklan

Gambar tersebut merakam dua garis masa yang berbeza, namun memaparkan perjuangan dan posisi yang hampir sama antara dia dan arwah bapanya.

Iklan

"Repeating the same story..." coret Emir ringkas, namun coretan itu sebenarnya sarat dengan rindu yang paling dalam tentang sebuah pengorbanan yang kini bertukar ganti.

Mengimbau kembali memori lama, gambar pertama memaparkan kelibat arwah bapanya sekitar tahun 1997 yang ketika itu dihantar jauh ke Vancouver, Kanada.

Pada waktu itu, bapanya sedang berjuang menjalani latihan Testing and Commissioning (T&C) untuk projek Putra LRT, sebelum sistem rel Laluan Kelana Jaya itu dibuka kepada umum setahun kemudian.

Siapa sangka, selepas hampir tiga dekad berlalu, sejarah itu berulang kembali apabila Emir sendiri kini berdiri di tempat bapanya dahulu.

Menyarung jersi perjuangan yang sama, Emir menggalas tugas T&C di dalam tren LRT3 Shah Alam demi memahami keseluruhan sistem penyelenggaraan sebelum ia mula membawa penumpang.

Apa yang membuatkan dada sesiapa sahaja terasa sebak adalah apabila Emir mendedahkan bahawa arwah bapanya sebenarnya sempat menyumbang bakti pada peringkat awal projek LRT3 ini sebelum bersara wajib pada tahun 2021.

Detik-detik akhir sebelum arwah dijemput ilahi dipenuhi dengan memori manis bapa yang tidak pernah jemu bertanya tentang perkembangan projek tersebut.

Sambil menahan rasa terkilan di sudut hati, Emir berkongsi luahan yang cukup menyentuh jiwa.

"Masa abah ada lagi memang kerap tanya progress LRT3. Macam kena jawab dengan bos-bos bila abah tanya tu,"tulisnya lagi.

Sebaik sahaja perkongsian penuh emosi itu tular, ruangan komen terus dihujani dengan pelbagai reaksi hiba daripada warganet, termasuk bekas rakan sekerja arwah yang turut mengalirkan air mata kenangan.

Salah seorang netizen menitipkan doa yang cukup indah.

"Alangkah bagusnya kalau arwah masih ada untuk pembukaan Shah Alam Line. Saya tahu dia pasti bangga dengan awak.

"Kami rindukan dia, bekas bos dan rakan sekerja saya. Semoga Allah mengurniakan Jannah buatnya, Amin."

Malah, ada yang mengimbau kembali era 90-an dengan menceritakan bagaimana kumpulan pertama pekerja di bawah Renong termasuk arwah bapanya terpaksa dihantar ke Kanada demi membawa pulang teknologi rel pertama buat Malaysia.

Membaca luahan hati seorang anak ini, rata-rata rakyat Malaysia menzahirkan rasa terhutang budi dan berterima kasih atas sumbangan besar dua generasi ini kepada negara.

"Terima kasih atas sumbangan anda kepada negara! Ayah anda pasti sangat bangga dengan anda," kata salah seorang warganet.

Kisah Emir ini bukan sekadar tentang pembukaan sebuah laluan kereta api yang baharu, tetapi ia adalah tentang sebuah legasi cinta seorang ayah yang kini mengalir tenang dalam setiap langkah perjuangan seorang anak.