BAGI pemilik haiwan peliharaan, si bulu bukan lagi sekadar binatang kesayangan, malah sudah dianggap seperti anak sendiri dan ahli keluarga yang sangat berharga.
Masakan tidak, pantang nampak mereka kurang selera makan atau muram, hati kita pula yang mula rasa tidak tenang.
Sebab itulah soal pemilihan makanan si comel ini tidak boleh dipandang remeh, kerana pemakanan yang baik adalah kunci utama untuk mereka kekal aktif dan sihat berpanjangan.
Menariknya, dua jenama makanan haiwan peliharaan yang semakin dekat di hati peminat kucing tempatan iaitu MR.VET dan Bite of Wild, baru-baru ini berjaya mencuri tumpuan dunia apabila meraih pengiktirafan hebat di pentas Orange Dot Award.
Anugerah global yang mengiktiraf inovasi terbaik dalam industri haiwan peliharaan ini sekali gus membuktikan produk dari rantau Asia Tenggara kini setanding dengan jenama antarabangsa yang lain.
Kemenangan ini nyata memberi makna yang cukup besar buat industri penjagaan haiwan tempatan. MR.VET berjaya membawa pulang trofi bagi kategori Biotech Innovation, manakala Bite of Wild pula cemerlang dalam kategori Nutrition hasil daripada formula pemakanan berasaskan sains yang mereka tampilkan.
Menurut pihak syarikat, kejayaan tersebut adalah hasil usaha berterusan dalam penyelidikan demi memastikan si bulu mendapat kualiti hidup yang terbaik.
“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa produk yang dibangunkan di Asia Tenggara mampu bersaing dan mendapat tempat di pentas antarabangsa.
"Pada masa sama, ia mengukuhkan komitmen kami untuk terus menyediakan penyelesaian nutrisi terbaik kepada haiwan peliharaan,” katanya ketika mengulas tentang pencapaian tersebut.
Bercerita lanjut tentang formula rahsia mereka, MR.VET sebenarnya sangat terkenal dengan konsep Precision Healthcare yang memfokuskan kepada penyelesaian masalah kesihatan spesifik buat si bulu.
Menggunakan teknologi freeze-drying khas, mereka memastikan segala nutrien sensitif tidak terjejas walaupun melalui proses pembuatan. Paling memudahkan pemilik kucing, jenama ini hadir dengan siri T-Series yang direka mengikut keperluan tubuh kucing.
Bagi jenama Bite of Wild pula, mereka mengambil pendekatan berbeza yang lebih dekat dengan alam semula jadi.
Diasaskan oleh Steve Bui yang mahu memberikan makanan terbaik demi kucing kesayangannya sendiri, jenama ini mengekalkan falsafah diet asal kucing sebagai haiwan karnivor.
Hasil daripada visi tersebut, lahirlah Bite of Wild 42 Series yang kini menjadi produk utama jenama berkenaan.
Ilmu nutrisi haiwan
Melihat kepada landskap di Malaysia, trend menjaga haiwan peliharaan kini sudah berubah ke arah yang lebih premium kerana pemilik mula sedar kepentingan pencegahan penyakit dari awal.
Pemilik kucing di negara ini juga didapati semakin bijak membaca label, mengambil tahu tentang kualiti bahan ramuan, serta memilih produk yang telus dari segi sumbernya.
Jadi tidak hairanlah mengapa MR.VET dan Bite of Wild kini semakin mudah didapati di pasaran tempatan.
Melangkah ke hadapan, syarikat merancang untuk terus mendidik masyarakat tentang kepentingan ilmu nutrisi haiwan di samping memperkenalkan lebih banyak inovasi makanan berasaskan kajian saintifik.
Bagi mereka, kepuasan sebenar bukanlah terletak pada trofi semata-mata, tetapi pada senyuman pemilik melihat haiwan kesayangan mereka sihat.
“Kami percaya setiap haiwan peliharaan berhak mendapat akses kepada nutrisi berkualiti tinggi. Walaupun pengiktirafan antarabangsa ini amat bermakna, pencapaian terbesar kami adalah kepercayaan yang diberikan oleh pemilik haiwan yang memilih produk kami setiap hari.
"Kami akan terus komited dalam menyediakan penyelesaian nutrisi berasaskan sains yang membantu haiwan peliharaan hidup lebih sihat, bahagia dan lebih lama,” ujarnya lagi.