Bukan sekadar teater muzikal, PERTEM hidupkan Qais & Laila dengan gabungan seni, muzik & barisan pelakon berpengalaman

Iklan

DI sebalik kemajuan dunia hiburan, karya klasik masih mempunyai tempat tersendiri di hati pencinta seni.

Apatah lagi apabila ia dipersembahkan dalam bentuk yang lebih segar tanpa menghilangkan nilai asalnya.

Iklan
Iklan

Itulah yang cuba diketengahkan menerusi pementasan teater muzikal Qais & Laila, sebuah naskhah yang mengangkat semula kisah cinta agung penuh penghayatan.

Diterajui oleh Pertubuhan Teater Negeri Melaka (PERTEM), pementasan ini menggabungkan elemen drama, muzik, puisi, komedi dan nilai kemanusiaan dalam satu persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, malah mengajak penonton menyelami emosi serta perjalanan jiwa setiap watak.

Iklan

Diangkat daripada kisah cinta agung yang cukup sinonim dalam khazanah sastera dan peradaban Islam, Qais & Laila membawa penonton mengikuti perjalanan dua insan yang diuji dengan kerinduan, pengorbanan dan pencarian makna cinta yang sebenar.

Iklan

Namun, naskhah ini bukan sekadar kisah percintaan semata-mata. Ia turut menampilkan perjalanan jiwa, ketabahan emosi serta penyucian hati yang menjadikan karya tersebut terus dekat dengan nilai kemanusiaan dan spiritual.

Melalui olahan yang lebih segar dan kontemporari, teater muzikal ini dirangka untuk memberikan pengalaman pementasan yang lebih menyeluruh kepada penonton.

Gabungan naratif klasik bersama susunan muzik yang menyentuh emosi, visual pentas, elemen komedi serta mesej penghayatan jiwa menjadikan Qais & Laila sebuah karya yang bukan sahaja dilihat, tetapi turut dirasai.

Menurut pihak penganjur, pendekatan yang diterapkan dalam pementasan ini bertujuan mendekatkan karya klasik kepada masyarakat hari ini tanpa menghilangkan roh asal cerita.

"Melalui olahan yang lebih segar dan kontemporari, teater muzikal ini dirangka bagi memberikan pengalaman pementasan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyentuh perasaan dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton."

Pementasan ini dianjurkan oleh PERTEM dengan sokongan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKN Melaka) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Ia turut dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Tourism Melaka, MCorp Corporate Services Sdn. Bhd. (MCS), Boolan Trending, Panggung Bangsawan Melaka dan World Youth Foundation.

Selain menjadi ruang apresiasi seni, Qais & Laila turut dilihat sebagai salah satu usaha memperkukuh ekosistem teater tempatan serta menyumbang kepada perkembangan ekonomi kreatif dan pelancongan negeri.

Pementasan teater muzikal tersebut dijadualkan berlangsung pada 25 Julai 2026 (Sabtu) di Panggung Bangsawan Melaka sebagai pementasan eksklusif satu malam sahaja.

Barisan pelakon yang bakal menjayakan naskhah ini menampilkan Syahir Shafien dan Isyariana sebagai pelakon utama, dengan sokongan Datuk Jalaludin Hassan, Rashid Din dari Singapura, Raja Ema serta Ashraf Muslim.