SETELAH sekian lama menanti kehadiran cahaya mata sejak mendirikan rumah tangga Datin Nelydia Senrose dan suami Datuk Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid berkongsi khabar gembira pada April 2019 yang lalu bahawa mereka bakal bergelar ibu dan ayah tidak lama lagi.
Terbaharu, melalui satu hantaran yang sarat dengan rasa kesyukuran di laman Facebook miliknya, Nelydia meluahkan isi hati yang cukup mendalam bersempena majlis keraian bayi (baby shower) yang diadakan penuh meriah baru-baru ini.
Menggelar bakal permata hatinya sebagai 'little pumpkin', pemilik nama sebenar, Nik Zaris Nelydia binti Nik Sen tersebut berkongsi betapa indahnya detik apabila dikelilingi oleh insan-insan tersayang yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan zuriat yang bakal dilahirkan itu.
"Setiap senyuman membawa keterujaan, dan setiap doa membawa harapan untuk kehidupan indah yang menantimu," luah Nelydia dengan nada yang penuh kelembutan.
Bagi setiap pasangan suami isteri, kehadiran cahaya mata adalah anugerah teragung yang tidak ternilai.
Begitulah juga yang dirasai oleh Nelydia apabila doa dan penantian sabar mereka selama bertahun-tahun akhirnya dijawab oleh Yang Maha Esa pada waktu yang paling tepat.
Aturan cukup sempurna
Wanita berusia 31 tahun itu menyifatkan perancangan ALLAH SWT sebagai sesuatu yang sangat indah dan menganggap peluang menyandang gelaran sebagai ibu bapa merupakan satu penghormatan terbesar dalam hidup mereka.
"Syukur Alhamdulillah. ALLAH, dalam aturan-NYA yang cukup sempurna, telah memilih giliran kami untuk menerima rahmat ini dan mengurniakan kami peluang serta penghormatan untuk menjadi ibu bapa kepadamu," kongsinya lagi dengan penuh rasa terharu.
Melangkah ke fasa baharu itu, debaran dan keterujaan pastinya semakin terasa buat Nelydia dan Hafez.
Namun bagi pelakon drama Lafazkan Kalimah Cintamu ini, setiap detik yang berbaki sebelum kelahiran akan terus dipenuhi dengan doa yang sarat dan kasih sayang yang melimpah-ruah buat kandungan tercinta.
"Sehingga tiba harinya untuk kami memelukmu dalam dakapan, kami akan terus menyintaimu, mendoakanmu dan bersyukur kepada ALLAH kerana memilih kami untuk menjadi milikmu," kata Nelydia mengakhiri coretan murninya itu.
Kami di SinarPlus tumpang gembira dan mendoakan agar segala urusan dipermudahkan, semoga ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat walafiat, serta selamat menempuh fasa keibubapaan yang penuh kebahagiaan!