BUKAN hanya drama dan budaya negara Korea yang berjaya mencuri perhatian, malah sajian unik dari bumi K-pop tersebut turut semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
Terbaharu, peminat pizza Korea kini mempunyai lebih banyak pilihan apabila Eat Pizza, jenama pizza sehidangan popular dari Korea Selatan, menerima pensijilan Halal rasmi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi cawangan Pavilion Bukit Jalil.
Pencapaian itu menjadi satu langkah penting buat jenama berkenaan sejak mula bertapak di Malaysia, sekali gus membuka peluang kepada pelanggan Muslim untuk menikmati keseluruhan menu yang ditawarkan dengan lebih selesa.
Dikenali sebagai 피자먹다 (pija meokda) yang bermaksud “makan pizza” dalam bahasa Korea, Eat Pizza mula diperkenalkan di Malaysia menerusi cawangan pertamanya di Johor Bahru pada November 2024 sebelum berkembang ke Lembah Klang dengan pembukaan cawangan Pavilion Bukit Jalil pada Januari 2025.
Kini, selain cawangan Pavilion Bukit Jalil yang telah menerima pensijilan Halal pada Mei 2026, dua lagi cawangan iaitu AEON Tebrau City, Johor Bahru dan Paradigm Mall, Petaling Jaya turut dalam proses mendapatkan pengiktirafan sama.
Menariknya, Eat Pizza membawa konsep menikmati pizza dalam gaya lebih santai dan praktikal menerusi bentuk pizza segi empat panjang berukuran 25 sentimeter yang mudah dipegang menggunakan sebelah tangan.
Setiap hidangan pula disediakan segar selepas tempahan dibuat dan boleh dinikmati dalam tempoh sekitar lima minit, sesuai untuk mereka yang mahukan hidangan ringkas tetapi tetap mengenyangkan.
Menggunakan doh berprotein tinggi, minyak zaitun extra virgin serta keju 100 peratus asli, pizza keluaran Eat Pizza direka sebagai hidangan lengkap yang sesuai dinikmati pada bila-bila masa — sama ada sebagai makan tengah hari, kudapan petang atau pilihan makan malam segera.
Bersempena pengiktirafan Halal tersebut, Eat Pizza turut memperkenalkan siri menu istimewa “Annyeong Halal – Seyo!” yang menggabungkan cita rasa Korea bersama elemen tempatan bermula 20 Julai hingga 31 Ogos 2026.
Antara yang mencuri perhatian ialah Daging Rendang Kaw-Kaw Pizza (RM15.80) yang mengetengahkan rasa rendang daging dimasak perlahan bersama rempah aromatik di atas doh pizza istimewa Eat Pizza.
Turut ditawarkan ialah Satay Smokey Pizza (RM15.80) yang menggabungkan ayam satay berasap bersama sos kacang berkrim, manakala pencinta snek boleh mencuba Curry Puff (RM6.80) yang hadir bersama pastri rangup berinti kari.
Untuk melengkapkan hidangan, pelanggan juga boleh menikmati D’Bandung (RM4.80), minuman berasaskan sirap mawar dengan rasa manis dan berkrim.
Selain menu istimewa itu, pilihan pizza sedia ada turut menawarkan pelbagai karakter rasa, daripada ringan hingga lebih berani. Antaranya Korean Spicy Chicken Pizza (RM15.80) dengan ayam berempah pedas Korea, Sweet Bulgogi Pizza (RM15.80) yang menampilkan daging bulgogi bersama sos soya manis, serta Kimchi Bulgogi Pizza (RM16.80) dengan gabungan kimchi dan daging bulgogi yang memberikan rasa unik.
Bagi penggemar keju pula, 100% Real Cheese Pizza (RM11.80) kekal menjadi pilihan ringkas tetapi memuaskan, manakala Crispy Potato Chicken Pizza (RM14.80) sesuai untuk mereka yang mahukan hidangan lebih mengenyangkan.
Tidak lengkap pengalaman menikmati pizza Korea tanpa mencuba pilihan sampingan seperti Gochujang Mac & Cheese (RM11.80), Chicken Slice Corn Cheese (RM10.80) dan Spicy Tteokbokki (RM13.80) yang membawa sentuhan makanan jalanan Korea.
Dengan gabungan rasa Korea, konsep hidangan pantas dan kini diperakui Halal, Eat Pizza terus memperkenalkan pengalaman menikmati pizza dalam gaya yang lebih dekat dengan citarasa masyarakat Malaysia.