PELAKON Datin Nelydia Senrose selamat menimang cahaya mata lelaki pada Ahad.
Berita gembira itu dikongsikan suaminya, Datuk Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid menerusi Instagram yang meluahkan kata-kata penghargaan penuh kasih.
"Buat sayangku yang tercinta @nelydiasenrose, Semalam, 26 Julai 2026, saya telah menyaksikan wanita yang paling kuat dan paling indah yang pernah saya kenali.
"Melihat awak berjuang melalui setiap detik kesakitan dan setiap cabaran demi melahirkan anak lelaki kita dengan selamat ke dunia ini adalah sesuatu yang akan saya semat dalam hati sepanjang hayat saya," titipnya.
Menerusi hantaran di Instagram, Mohd Hafez turut menitip detik perjuangan Nelydia sepanjang melahirkan permata hati mereka dan amat terharu menyaksikan pengorbanan isteri tercinta.
"Awak sangat berani, walaupun keadaan bukanlah mudah. Melihat awak menjadi seorang ibu adalah perkara paling indah yang pernah saya saksikan.
"Sayang saya, terima kasih atas setiap pengorbanan, setiap titik air mata, setiap hembusan kekuatan dan setiap degupan jantung yang membawa anak lelaki kita selamat ke pangkuan kita.
"Awak bukan sahaja melahirkan bayi lelaki kita yang comel, tapi awak juga memberi saya hadiah terbesar yang pernah saya terima. Hari ini, awak melengkapkan keluarga kecil kita," titipnya.
Dalam pada itu, hati bapa itu juga tersentuh tatkala doa yang dinantikan selama bertahun akhirnya termakbul.
"Alhamdulillah sayang, ALLAH dengan rahmat-NYA yang Maha Luas, telah memperkenankan setiap doa yang kita bisikkan bertahun-tahun ini. DIA mengurniakan kita bayi lelaki yang sihat dan yang paling utama, melindungi serta menyelamatkan awak berdua.
"Hati saya tak pernah rasa sepenuh ini. Tiada kata-kata yang cukup untuk saya panjatkan rasa syukur kepada-NYA atas nikmat ini," tulisnya lagi.
Dalam pada itu, Mohd Hafez yang merupakan seorang ahli perniagaan menyatakan rasa terharu dan meluahkan ikrar setianya untuk sentiasa berada di sisi Nelydia sebagai seorang suami dan bapa.
"Terima kasih kerana menjadikan saya suami yang paling bangga, dan kini, seorang ayah yang paling bertuah.
"Saya berjanji akan menghabiskan sisa hidup saya untuk mencintai melindungi dan sentiasa berada di sisi awak dalam setiap suka dan duka.
"Anak lelaki kita sangat bertuah mempunyai awak sebagai mummy dan saya bertambah bertuah dapat memanggil awak sebagai isteri.
"Saya cintakan awak lebih daripada apa yang mampu diungkapkan dengan kata-kata. Terima kasih kerana memberi saya sebuah keluarga yang sentiasa saya doakan selama ini," kongsinya lagi.
Imbas kembali, Nelydia terdahulu mengumumkan kehamilannya ketika menyambut ulang tahun ketujuh perkahwinan mereka pada 7 April lalu.
Sekadar info, Nelydia atau nama penuhnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, berkahwin dengan Mohd Hafez pada 6 April 2019.