KEJAYAAN yang cukup bermakna buat Datuk Mohd Azizulhasni Awang apabila memenangi pingat emas acara keirin lelaki di Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Ia bukan hanya sekadar kemenangan di atas trek, sebaliknya menjadi penutup paling indah kepada sebuah perjalanan panjang yang penuh cabaran, pengorbanan dan doa.
Selepas bertahun-tahun mengejar impian bergelar juara Sukan Komanwel, hasrat pelumba berbasikal trek negara itu akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau menampilkan kayuhan penuh strategi di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow, sekali gus menghadiahkan emas buat Malaysia.
Lebih manis, kejayaan tersebut hadir pada penampilan terakhirnya di pentas Sukan Komanwel. Pada usia 38 tahun, Azizulhasni membuktikan bahawa pengalaman dan semangat juang masih mampu menjadi senjata utama untuk mencipta sejarah.
Bagi atlet yang sinonim dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ itu, kemenangan tersebut cukup bermakna kerana ia hadir selepas doa yang tidak pernah putus dipanjatkan sepanjang berada di Glasgow.
Masih dibuai emosi selepas perlumbaan berakhir, Azizulhasni mengakui sukar menggambarkan perasaannya apabila impian yang disimpan sekian lama akhirnya tercapai.
"Saya berdoa sangat dekat ALLAH setiap hari. Saya cakap, ‘Ya ALLAH, tolonglah berikan saya pingat emas. Saya nak sangat akhirkan kerjaya saya ini dengan pingat emas.’ Alhamdulillah ALLAH makbulkan doa saya,” katanya.
Menurut Azizulhasni, kemenangan itu menjadi bukti kepada dirinya sendiri bahawa usia bukan alasan untuk berhenti mengejar impian.
"Ini Sukan Komanwel terakhir saya, dapat pula emas... tiada lagi yang saya boleh minta. Saya nak buktikan kepada diri sendiri dan kepada dunia bahawa saya masih boleh menang pada usia 38 tahun,” katanya.
Katanya, walaupun berdepan barisan pelumba yang dianggap lebih kuat dari segi kuasa kayuhan, kelebihan dari segi taktikal dan kebijaksanaan membaca perlumbaan menjadi pemisah utama.
"Saya mengambilnya selangkah demi selangkah. Saya percaya kepada diri sendiri dan kemampuan saya. Dalam keirin, yang paling utama ialah taktikal.
"Hari ini saya membuktikan kepada dunia bahawa saya ialah pelumba paling bijak dari segi taktikal dalam acara keirin,” katanya.
Kejayaan itu pastinya cukup bermakna selepas Azizulhasni sebelum ini hanya meraih dua pingat gangsa di pentas Sukan Komanwel menerusi acara pecut berpasukan pada edisi 2010 dan keirin pada edisi 2014 di Glasgow.
Malah, beliau pernah melalui detik sukar apabila peluang meraih emas pada edisi New Delhi 2010 terlepas selepas kemenangannya dibatalkan. Namun, pengalaman pahit itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus bangkit.
Lebih membanggakan, kemenangan di Glasgow 2026 itu turut menghadiahkan pingat emas ketujuh buat kontinjen Malaysia selain menjadi emas sulung skuad berbasikal trek negara pada temasya kali ini.
Di sebalik kejayaan seorang atlet, sokongan insan tersayang juga menjadi sumber kekuatan. Isteri beliau, Datin Athiah Ilyana Abd Samat turut meluahkan rasa bangga selepas suaminya menamatkan penantian selama 16 tahun untuk bergelar juara Sukan Komanwel.
Menerusi hantaran di media sosial, Athiah menyifatkan kejayaan itu sebagai ganjaran kepada segala pengorbanan, ketabahan dan semangat juang yang ditunjukkan Azizulhasni sepanjang bergelar atlet elit negara.
"Suami saya kini Juara Sukan Komanwel. Alhamdulillah. Saya amat bangga dengan awak.
"Ketabahan, pengorbanan dan semangat yang tidak pernah luntur telah memberi inspirasi kepada ramai orang. Inilah penamat terbaik untuk perjalanan awak di Sukan Komanwel," tulisnya.
Kisah Azizulhasni bukan sekadar tentang pingat emas, tetapi tentang perjalanan seorang juara yang tidak pernah berhenti percaya. Ia menjadi peringatan bahawa impian yang dipupuk dengan usaha, kesabaran dan doa mampu menjadi kenyataan, walaupun selepas melalui jalan yang panjang.
Sumber : Bernama & Instagram @tyailyana