6 kali tukar sekolah bukan halangan, Azu Shahadan bimbing Adam tamat IGCSE usia 15 tahun - ‘Kehidupan anak ibarat sekeping puzzle’

Iklan

MEMBESARKAN anak bukan sekadar memastikan mereka mendapat pendidikan yang baik, tetapi memahami apa yang mereka perlukan pada setiap peringkat usia.

Bagi seorang ibu, setiap anak hadir dengan keunikan tersendiri. Ada yang menyerlah dalam akademik, ada yang memerlukan ruang untuk membina keyakinan diri, manakala ada pula yang perlu melalui pengalaman berbeza sebelum menemui kekuatan mereka.

Iklan
Iklan

Prinsip itu menjadi pegangan bagi pakar motivasi minda dan usahawan, Dr Azuraida Shahadan atau lebih dikenali sebagai Dr Azu dalam menguruskan perjalanan pendidikan anak sulungnya, Adam Adrian.

Iklan

Baginya, memilih pendidikan terbaik bukan bermaksud mencari sekolah yang paling popular atau sering menjadi pilihan ramai, sebaliknya mencari persekitaran yang mampu membantu anak berkembang dari sudut ilmu, sahsiah dan nilai kehidupan.

“Tiada satu sekolah yang mampu memenuhi semua keperluan perkembangan seorang anak. Ada sekolah yang cemerlang dari sudut akademik, ada yang menitikberatkan pembinaan sahsiah, ada yang memberi penekanan kepada hafazan al-Quran, dan ada pula yang menyediakan laluan pendidikan seperti IGCSE.

Iklan

“Sebagai ibu, saya memilih sekolah berdasarkan keperluan anak saya pada setiap fasa usianya, bukan semata-mata kerana nama atau populariti sesebuah sekolah,” katanya.

Perjalanan pendidikan Adam mungkin berbeza berbanding kebanyakan pelajar lain apabila dia bertukar sebanyak enam sekolah sebelum berjaya menamatkan silibus IGCSE pada usia 15 tahun.

Namun, setiap perubahan itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya dirancang mengikut keperluan dan perkembangan dirinya.

Anak  ibarat  sekeping  puzzle

Adam yang dilahirkan di Amerika Syarikat kembali ke Malaysia ketika berusia enam tahun.

Ketika itu, beliau memilih Sekolah Antarabangsa Sri KDU sebagai langkah pertama bagi membantu anaknya menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan dan persekitaran baharu memandangkan bahasa pertamanya ialah bahasa Inggeris.

Selepas tiga tahun, Adam meneruskan pembelajaran di International Islamic School Malaysia (IISM), sekolah milik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), bagi mendapatkan pendedahan lebih mendalam terhadap pendidikan agama dan nilai-nilai Islam.

Perjalanan itu diteruskan di Maahad Tahfiz Darul Mubarak untuk mendalami pengajian al-Quran sehingga berjaya mengkhatamkannya.

Kemudiannya, Adam menyambung pembelajaran di Kolej Yayasan Saad Melaka sebelum melalui fasa persediaan intensif di Learning Oasis Wangsa Maju bagi silibus IGCSE, sebelum akhirnya diterima masuk ke Kolej Yayasan Saad KL East.

Bagi wanita tersebut, setiap pengalaman yang dilalui anaknya merupakan sebahagian daripada proses membentuk dirinya sebagai individu yang lebih lengkap.

Menurutnya lagi, kehidupan seorang anak ibarat sekeping puzzle yang perlu dilengkapkan sedikit demi sedikit. Setiap pengalaman, guru, sekolah, kemahiran dan cabaran menjadi cebisan penting dalam membina peribadi mereka.

“Saya percaya kehidupan seorang anak ibarat sekeping puzzle. Setiap pengalaman, guru, sekolah, kemahiran dan cabaran merupakan cebisan yang melengkapkan gambaran besar kehidupan mereka.

“Tanggungjawab ibu bapa bukan sekadar menghantar anak ke sekolah, tetapi memastikan setiap kepingan penting itu diisi sebelum mereka melangkah ke alam dewasa,” ujarnya.

Dalam perjalanan membesarkan anak, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak terlalu cepat menilai kemampuan seseorang anak hanya berdasarkan satu ukuran.

Setiap  anak  punya  potensi

Baginya, setiap anak mempunyai potensi yang tersendiri sekiranya diberikan bimbingan, peluang dan berada dalam persekitaran yang sesuai.

“Jangan mentertawakan anak-anak yang sering bertukar sekolah kerana pasti ibu bapa mereka mempunyai sebab tersendiri. Jangan juga cepat merendahkan kebolehan seseorang pelajar.

“Setiap anak mempunyai potensi yang luar biasa sekiranya mereka dibimbing, diberi peluang dan berada dalam persekitaran yang sesuai,” katanya.

Bukan itu sahaja, tempoh anak-anak berada di bawah jagaan ibu bapa sebenarnya sangat singkat. Justeru, masa yang ada perlu dimanfaatkan untuk mengisi kehidupan mereka dengan ilmu, pengalaman dan nilai yang baik.

Kini, selepas melalui pelbagai fasa pendidikan, Adam bakal melangkah ke peringkat seterusnya apabila menerima tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Perubatan di Rusia pada penghujung tahun ini.

Kongsi pakar itu lagi, kejayaan seorang anak bukan hanya tentang pencapaian akademik, tetapi bagaimana mereka dibentuk menjadi individu yang mempunyai ilmu, nilai dan keyakinan untuk menghadapi dunia sebenar.

Kerana akhirnya, pendidikan bukan sekadar tentang tempat seorang anak belajar, tetapi bagaimana perjalanan itu membantu membentuk siapa diri mereka.