KALAU anda jenis yang susah menolak coklat, apatah lagi bila ia digandingkan dengan biskut karamel yang rangup, ada satu kombinasi baharu yang mungkin bakal mencuri perhatian.
Membawa dua dunia kegemaran pencinta manisan, Cadbury Dairy Milk kini bergandingan dengan Lotus Biscoff untuk menghasilkan gabungan coklat susu yang lembut dan berkrim bersama kerangupan biskut Biscoff berperisa karamel.
Menariknya, Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang berpeluang menikmati Cadbury Dairy Milk x Lotus Biscoff selepas gabungan berkenaan mencetuskan fenomena di United Kingdom dan Australia.
Bayangkan coklat susu yang cair perlahan-lahan di dalam mulut sebelum hadir tekstur rangup biskut Biscoff dengan sentuhan rasa karamel.
Kontras antara tekstur lembut dan rangup itulah yang menjadikan setiap gigitan terasa lebih mengujakan, sekali gus sesuai untuk dinikmati sendiri atau dikongsi bersama insan tersayang.
Biscoff sememangnya bukan lagi asing dalam dunia pencuci mulut masa kini.
Daripada menjadi teman secawan kopi, biskut berperisa karamel itu kini sering muncul sebagai ramuan dalam kek, pencuci mulut, minuman dan pelbagai sajian kreatif yang menjadi pilihan pencinta makanan.
Justeru, kemunculan gabungan Cadbury Dairy Milk dan Lotus Biscoff dilihat cukup dekat dengan gaya hidup pencinta manisan moden yang gemar mencuba padanan rasa baharu.
Lebih istimewa, setiap bar coklat berkenaan dihasilkan secara tempatan di kilang Cadbury di Shah Alam.
Selain memenuhi selera pengguna tempatan, ia secara tidak langsung mengetengahkan keupayaan industri pembuatan Malaysia dalam menghasilkan produk yang membawa inovasi berkelas global.
Menurut Pengarah Pemasaran Mondelēz International Malaysia & Singapura, See Mei Sin, kolaborasi itu turut membawa semangat kebersamaan yang sinonim dengan jenama Cadbury Dairy Milk.
“Cadbury Dairy Milk sinonim dengan detik kebersamaan, dan kolaborasi bersama Lotus Biscoff mencerminkan semangat itu dengan cara yang menyeronokkan.
“Kelembutan coklat susu Cadbury Dairy Milk yang digabungkan dengan kerangupan biskut Biscoff berperisa karamel menghasilkan padanan yang begitu serasi, membuatkan anda ingin berkongsinya bersama insan tersayang.
“Kami juga bakal membawakan pelbagai aktiviti menarik yang diharapkan dapat mengeratkan lagi silaturahim sesama kita.
“Kami tidak sabar untuk berkongsi perisa dan pengalaman ini dengan seluruh rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi apabila setiap bar coklat ini dihasilkan dengan bangganya di Malaysia,” katanya.
Hari Persahabatan Sedunia
Kehadiran gabungan ini juga bertepatan dengan sambutan Hari Persahabatan Sedunia, menjadikan coklat berkenaan bukan sekadar kudapan tetapi sesuatu yang boleh dikaitkan dengan momen berkongsi bersama orang tersayang.
Bagi menyemarakkan lagi kemunculannya, satu acara pelancaran imersif bakal berlangsung di The Starhill Kuala Lumpur.
Pengunjung berpeluang meneroka pelbagai zon interaktif termasuk stesen merasa produk serta aktiviti berdua yang direka khas untuk mencipta pengalaman bersama teman rapat atau ahli keluarga.
Sama ada dinikmati ketika berehat daripada tugasan, dibawa sebagai kudapan sepanjang perjalanan jauh atau dijadikan buah tangan untuk seseorang yang istimewa, Cadbury Dairy Milk x Lotus Biscoff hadir dalam beberapa pilihan saiz pek mengikut keperluan.