JIKA dahulu Tanah Suci sering dibayangkan sebagai destinasi yang akan dikunjungi apabila usia semakin meningkat, kini persepsi itu perlahan-lahan berubah.
Dalam kalangan wanita Muslimah Malaysia, semakin ramai memilih untuk menunaikan umrah ketika masih muda, malah ada yang berani melangkah ke Tanah Suci bersama kumpulan wanita lain tanpa ditemani mahram lelaki.
Bagi sesetengah wanita, keputusan itu bukan sekadar tentang memenuhi impian untuk melihat Makkah dan Madinah, tetapi turut menjadi ruang mencari ketenangan, menambah ilmu serta bertemu insan baharu yang berkongsi aspirasi sama.
Perubahan trend itu turut menyaksikan kemunculan komuniti khusus wanita seperti Umrah4Ladies by MK Haramain Travel & Tours yang sejak diperkenalkan pada 2022 merekodkan kira-kira 3,000 wanita menyertai perjalanan umrah.
Pengasas komuniti berkenaan, Syafiqah Zamani berkata, konsep ‘Daripada Wanita Untuk Wanita’ diwujudkan bagi memberi ruang kepada wanita yang mempunyai kekangan tertentu untuk tetap menunaikan ibadah dalam suasana yang lebih selesa dan saling menyokong.
“Di sini mereka akan berjumpa kawan-kawan baharu. Alhamdulillah, Umrah4Ladies mendapat sambutan yang sangat baik sehingga mampu bertahan sejak empat tahun lalu,” katanya.
Menurut Syafiqah, pengalaman bersama kumpulan wanita turut membuka ruang untuk peserta berkongsi cerita dan perasaan dengan lebih terbuka kerana masing-masing memahami pengalaman serta cabaran sebagai wanita.
PERJALANAN UMRAH PERSAHABATAN BAHARU
Lebih menarik, hubungan yang terjalin di Tanah Suci tidak semestinya terhenti selepas kembali ke Malaysia. Ada peserta yang terus berhubung dan menghadiri majlis ilmu bersama, menjadikan perjalanan umrah sebagai permulaan kepada sebuah persahabatan baharu.
“Apabila memperkenalkan diri, mereka lebih mudah terbuka berkongsi perasaan dan pengalaman. Dari situ persahabatan baharu mula terjalin,” katanya.
Dalam usaha menjadikan perjalanan itu lebih bermakna, Umrah4Ladies turut menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan Wanita Itu, dengan penekanan terhadap penghayatan al-Quran menerusi aktiviti tadarus dan tadabbur.
“Pengisian Umrah4Ladies ialah sesi tadarus dan tadabbur al-Quran dengan sasaran para peserta mengkhatamkan al-Quran di Tanah Suci,” katanya.
Menurutnya, perubahan gaya hidup dan cara wanita melihat perjalanan ibadah turut menyumbang kepada kecenderungan menunaikan umrah pada usia lebih muda.
“Saya nampak warga Malaysia kini lebih terbuka untuk pergi umrah awal pada usia muda lagi, bukan lagi sudah warga emas baru hendak ke sana,” katanya.
Pengalaman sebelum ini juga menunjukkan peserta datang daripada pelbagai peringkat usia, termasuk wanita berusia 20 tahun hingga 70 tahun.
Dalam masa sama, peserta diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur dan ketetapan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi, termasuk syarat berkumpulan bagi wanita yang menunaikan umrah tanpa mahram lelaki.
Perkara itu juga selari dengan mesej program Freedom Beyond Independence yang berlangsung di Masjid As-Syakirin, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), yang menghimpunkan lebih 4,000 wanita.
Program bersempena Bulan Kemerdekaan Malaysia itu mengetengahkan konsep pembebasan jiwa menerusi tadabbur al-Quran, sekali gus mengingatkan bahawa pemerkasaan wanita bukan hanya tentang keberanian melangkah keluar, tetapi turut berkait dengan ilmu, nilai, akhlak dan hubungan dengan ALLAH.