USAHAWAN dan pempengaruh Khairul Aming berkongsi telah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 24 kilogram (kg) dalam tempoh setahun.
Figura yang terkenal dengan produk sambal dan pemilik restoran Rembayung itu mendedahkan usaha dilakukan sejak tahun 2025 mula menunjukkan perubahan selepas secara konsisten menjaga pemakanan dan bersenam.
Malah, perkongsian itu menjadi lebih emosi apabila usaha kesihatan itu tetap berjalan biarpun ketika menghadapi tempoh mencabar dalam perniagaannya.
"Ini hasil selepas turun 24kg dalam masa setahun.
"Walaupun penat tidak rehat dari tahun lepas, KA wajibkan pergi gym setiap hari dan jaga makan.
"Bermula dari zaman bina Rembayung, shoot video puasa sampai ke launching Sambal Bilis, tetap eat clean and bersenam.
"Ini hasil selepas setahun jaga disiplin," titipnya.
Warganet rata-rata memuji kecekalan Khairul Aming yang kekal berdisiplin dalam misi penurunan berat badan. Ada juga yang meminta pempengaruh itu berkongsi menu eat clean pula selepas ini.
Terdahulu, pada Disember 2023, pemilik nama Khairul Amin Kamarulzaman itu pernah berkongsi penurunan berat badan sebanyak 20kg. Mempunyai ketinggian 184 sentimeter, pengasas Sambat Nyet itu berjaya mencapai berat 93kg.