SIKAP profesional dan kematangan penyanyi vokal terbilang, Ernie Zakri, sekali lagi mencuri perhatian apabila beliau memilih untuk berlapang dada menerima teguran ramai berhubung isu gaya busananya yang dikatakan kurang sesuai dengan imej wanita berhijab. Tanpa melatah atau cuba melancarkan sebarang 'perang dingin', penyanyi ini tampil memohon maaf secara terbuka atas kekhilafan yang berlaku.
Bagi pelantun lagu Ku Bersuara ini, setiap kritikan masyarakat luar bukanlah satu ancaman, sebaliknya cermin diri untuk beliau menjadi figura awam yang lebih baik. Beliau mengakui seseorang itu boleh terlepas pandang apabila hanya menilai sesuatu perkara dari sudut pandangnya sendiri.
"Saya terima dengan hati terbuka dan saya mohon maaf sekiranya look yang saya pakai itu mungkin memberi ketidaksenangan hati," ujarnya jujur.
Pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri ini sedar penampilannya sentiasa menjadi ikutan ramai, terutamanya golongan muda yang baru belajar menutup aurat. Justeru, beliau tidak mahu kesilapan tersebut dijadikan contoh oleh mana-mana pihak.
"Kita tak tahu impak itu seperti apa, tapi saya manusia biasa melakukan kesilapan. Jangan tiru itu," tegasnya lagi.
IMEJ SEORANG IBU
Tidak mahu insiden sama berulang, juara Bintang RTM 2009 ini terus mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan khas bersama pasukannya bagi memantau pemilihan fesyen selepas ini. Apatah lagi, keutamaannya kini bukan sahaja pada perjalanan kerjaya, tetapi juga imejnya sebagai seorang ibu.
"Saya sedar dengan teguran itu, jadi kita bersama dengan team duduk berkumpul berbincang. Kita ada mesyuarat dan cakap, okey lepas ini kita kena hati-hati. Saya juga seorang ibu, saya perlu berhati-hati dengan imej," jelasnya.
Menariknya, isteri kepada penyanyi Syamel ini memilih untuk tidak mendedahkan sebarang krisis atau isu teknikal di belakang tabir semata-mata untuk membela diri. Baginya, penonton hanya menilai apa yang dipersembahkan di atas pentas tanpa perlu dibebankan dengan hal duka di sebalik tabir.
"Setiap yang berlaku ada hikmah, kita belajar daripadanya dan ambil ia sebagai perkara positif. Senyum, jalan terus," ungkapnya matang.
Mesej kebangkitan dan ketenangan ini sebenarnya cukup selari dengan karya terbaharu beliau, Sejambak Bunga, ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh. Lagu yang dilancarkan secara rasmi menerusi pentas pertunjukan fesyen"Lerai" oleh pereka Zaimi Zulkafli itu menterjemahkan fasa kehidupannya yang lebih reflektif.
"tak semua luka perlu dibalas dengan luka, kadang-kadang kemenangan kita ialah apabila kita tetap memilih untuk menjadi baik," katanya mengakhiri bualan.