BUNYI ketakan gunting yang memotong helaian demi helaian rambut mungkin kedengaran biasa bagi kebanyakan kita. Namun, buat pempengaruh dan usahawan, Diva M, setiap detik itu membawa makna serta kenangan yang jauh lebih mendalam dan peribadi.
Tatkala melangkah masuk dan berdepan dengan para penghuni Rumah Seri Kenangan Cheras yang kebanyakannya sudah uzur, raut syahdu serta senyuman mesra mereka terus menyentuh naluri seorang anak.
Perasaan sebak semakin menguasai dada sewaktu dia mula memegang gunting dan menyisir rambut mereka seorang demi seorang. Di sebalik kesibukan menguruskan perniagaan, Diva M mengakui peluang meluangkan masa bersama warga emas menerusi kerja amal ini adalah satu rahmat yang tiada galang gantinya.
"Saya rasa nak menangis pun ada. Pertama kali saya datang untuk buat program pemotongan rambut di rumah warga emas.
"Terasa diri ini macam diberikan peluang yang sangat besar dalam kehidupan saya," luahnya jujur.
Bagi Diva M atau nama sebenarnya Mohd Muzakir, khidmat potong rambut percuma yang dihulurkan bukan sekadar memenuhi keperluan penjagaan diri harian, tetapi menjadi medium indah untuk berkongsi rezeki serta kemahiran yang dikurniakan Tuhan.
Perasaan sebak itu hadir secara semula jadi apabila dia melihat penghuni di situ sebaya dengan ibunya. Golongan warga emas berkenaan bukan sahaja mengingatkan dirinya kepada insan tersayang, malah mengusik jiwanya apabila memikirkan bahawa setiap manusia akhirnya akan melalui fasa kehidupan yang sama.
"Kalau saya tengok warga emas ini, saya akan terfikir orang tua saya. Ayah saya dah tak ada, tapi saya fikir mak saya. Apa yang saya nampak pada hari ini, mak saya dengan orang di sini sama saja.
"Umur mereka pun 60 lebih. Jadi saya teringat kepada parent saya. Saya fikir, satu hari pun saya akan berada di tempat mereka. Tapi kita cuba yang baik-baiklah. Cuba yang baik-baik, insya-ALLAH," katanya lagi.
Daripada detik itu, Diva M menyedari bahawa program sedemikian adalah peluang emas untuk terus berbakti dan menyemai kebaikan sementara masih diberi kesempatan.
Program amal khidmat potong rambut percuma edisi pertama ini telah berlangsung penuh kehangatan pada 25 Ogos 2026 jam 12 tengah hari bertempat di Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheras, Kajang, Selangor.
Inisiatif murni anjuran Diva Hair Salon tersebut diadakan khas bersempena Sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-69.
Tidak bersendirian, dia hadir bersama pasukannya seramai 15 orang untuk menjayakan aktiviti berkenaan. Malah, anak kesayangannya turut dibawa bersama memandangkan program berlangsung pada hari cuti umum, sekali gus mendidik generasi muda tentang erti keprihatinan.
Bagi usahawan berkenaan, kelebihan dan kemahiran dalam bidang penjagaan rambut tidak seharusnya disimpan untuk kepentingan diri semata-mata, sebaliknya wajar dimanfaatkan demi membantu mereka yang memerlukan.
"Mungkin dekat luar saya anggap ini benda yang simple, tapi bagi saya ini sangat berharga. Bukan semua orang boleh potong rambut.
"Jadi bila ada kelebihan di sini, saya akan gunakan dan saya akan tolong ramai orang nanti. Pada masa sama, saya juga ingin berterima kasih kepada RSK dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana beri kerjasama kepada pihak kami untuk menjayakan program ini." ujarnya.
Menariknya, khidmat potong rambut bukanlah sesuatu yang asing buat Diva M. Sebelum ini pun, dia sudah biasa menggunting rambut ibunya sendiri.
Jika ibunya tidak berkesempatan ke rumahnya atau enggan keluar, Diva M sendiri yang akan pulang ke kampung meluangkan masa merapikan rambut insan kesayangannya itu.
Pengalaman peribadi itulah yang membuatkannya sangat memahami betapa pentingnya penjagaan diri dan kemasan rambut buat golongan warga emas.
Dalam pada itu, Diva M secara terbuka mengakui bahawa usaha kebajikan ini dapat dilaksanakan berkat sokongan berterusan daripada rakyat Malaysia terhadap perniagaannya.
Bagi dirinya, sebahagian daripada hasil rezeki perniagaan sewajarnya dipulangkan semula kepada masyarakat.
"Rakyat Malaysia selalu sokong dan pilih produk saya. Alhamdulillah, sedikit hasil daripada produk saya saya akan salurkan kepada orang yag memerlukan.
"Sebab saya fikir benda ini satu amalan juga bagi saya," tuturnya lembut.
Meskipun jadual harian sentiasa padat, Diva M menegaskan bahawa program ini tidak akan berhenti sebagai aktiviti seumpama 'one-off' sahaja.
Walaupun perancangan rasmi dibuat kira-kira dua minggu sebelum majlis, hasrat untuk mendekati warga emas sebenarnya sudah lama tersemai di hatinya.
"Insya-ALLAH saya akan buat lagi. Kadang-kadang kita sibuk dengan tim, semua pun busy, tapi luangkan masa untuk datang," janjinya.
Malah, pelbagai perancangan menarik sudah berada dalam fikiran Diva M untuk menghiburkan penghuni rumah berkenaan pada masa akan datang, termasuk merancang sesi 'hi-tea' santai agar dapat berinteraksi lebih mesra.
Suasana harmoni di Rumah Seri Kenangan Cheras yang dihuni oleh warga emas pelbagai kaum serta keperluan pemotongan rambut secara berkala, terutamanya bagi lelaki yang memerlukan potongan sekurang-kurangnya sebulan sekali—makin menguatkan azamnya untuk kembali lagi.
Pengalaman bermakna ini mengajar Diva M satu perkara penting, kerja kebajikan tidak mestinya bermula dengan perkara yang besar dan serba mewah.
Kadangkala, kemahiran ringkas, sedikit masa yang diluangkan serta keikhlasan murni sudah cukup untuk menjadi hadiah paling bernilai dan menyinari kehidupan insan lain.