ISTIADAT berandam surai cucunda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah iaitu Tengku Nadine Amina Zahra selamat dilangsungkan di Istana Abdulaziz, Kuantan.
Memetik hantaran laman sosial Majlis Kesultanan Pahang istiadat berandam surai anakanda pertama Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah dan Tengku Puan Bendahara Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan itu diserikan dengan kerangkatan Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang di Balai Seri Bendahara.
Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan suami serta kerabat.
Turut hadir ialah Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan isteri, Datin Seri Utama Enny Beatrice Ferlat Kusumo Anggraini bagi meraikan cucu mereka.
Terdahulu, SinarPlus berkongsi keputeraan Tengku Nadine Amina Zahra pada 2 Julai lalu jam 3.35 petang di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Sekadar info, Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah dan Tengku Natasya Puteri melangsungkan istiadat perkahwinan pada 24 Oktober 2024.