LEBIH tiga dekad berada dalam dunia seni membuatkan Ezad Lazim semakin tahu bahawa berkarya bukan sekadar soal menghasilkan lagu, tetapi tentang menyampaikan sesuatu yang dekat dengan jiwa.
Selepas memulakan perjalanan seni pada 1995, penyanyi yang sinonim dengan vokal tersendiri itu kini membuka lembaran baharu menerusi single terbaharu, Rasa Cinta.
Menariknya, karya bergenre balada itu bukan sekadar menandakan kemunculan baharu Ezad sebagai penyanyi, malah menjadi projek sulung syarikat rakamannya sendiri, EZ Record.
Dalam projek tersebut, Ezad, 47, bukan sahaja bertindak sebagai penyanyi, tetapi turut mengambil tanggungjawab sebagai produser, komposer serta menerajui penerbitan muzik dan video muzik.
Bagi Ezad, penubuhan EZ Record memberi ruang untuk dirinya kembali berkarya dengan lebih bebas selain membina sesuatu yang boleh dikembangkan bersama bakat baharu.
Kisah Rasa Cinta pula bermula dengan cara cukup sederhana. Ketika proses menyiapkan studio rakaman miliknya selesai, ilham untuk menghasilkan lagu berkenaan datang secara spontan.
“Lagu Rasa Cinta tercipta secara spontan sebaik sahaja proses menyiapkan studio selesai. Ketika memegang gitar, melodi lagu ini hadir dengan begitu mudah.
“Bagi melengkapkan karya tersebut, saya percaya kepada Zeana Ramli, isteri dan pengurus saya, untuk menghasilkan lirik kerana saya percaya Zeana mempunyai bakat dalam penulisan.
“Hasilnya, Rasa Cinta menjadi karya pertama yang kami hasilkan bersama sebagai pasangan suami isteri,” jelasnya.
Lirik lagu berkenaan ditulis Zeana Ramli, manakala melodinya dicipta sendiri oleh Ezad.
Bukan kali pertama menghasilkan lagu, Ezad sebenarnya sudah mula mencipta karya ketika bersama kumpulan Exists. Namun, selepas meninggalkan kumpulan tersebut, agak lama juga dirinya tidak kembali aktif sebagai pencipta lagu.
Segalanya berubah selepas Ezad dan Zeana mempunyai pejabat sendiri pada awal 2025. Daripada situ, timbul semula semangat untuk menghasilkan karya sehingga membawa kepada pembinaan studio rakaman sendiri.
Perjalanan seni
Lahirnya EZ Record kemudian menjadi satu lagi fasa penting dalam perjalanan seni Ezad.
“Proses menghasilkan lagu ini juga mempunyai cabarannya. Pada ketika itu, saya masih belum mempunyai jurutera bunyi untuk mengendalikan proses rakaman.
“Namun, Alhamdulillah, ALLAH permudahkan perjalanan kami apabila dipertemukan dengan individu-individu yang sudi membantu dan bekerjasama.
“Daripada pertemuan itulah lahirnya pasukan EZ Record yang menjadi tulang belakang kepada setiap proses penerbitan karya ini,” katanya.
Lebih bermakna, keseluruhan rakaman Rasa Cinta disiapkan sepenuhnya di Studio EZ Record, manakala video muziknya turut diterbitkan oleh syarikat berkenaan.
Dari sudut tema pula, Rasa Cinta membawa pengertian kasih sayang yang luas. Lagu itu boleh dihayati sebagai luahan cinta antara pasangan suami isteri, malah turut ditafsirkan sebagai kecintaan dan pengabdian kepada Allah SWT serta kecintaan kepada Rasulullah SAW.
Titik mula
Dalam masa sama, Ezad tidak mahu EZ Record berhenti setakat penghasilan karyanya sendiri.
Selepas Rasa Cinta, label tersebut bakal memperkenalkan artis baharu termasuk Adree dan Tika Nasir. Kedua-duanya sudah selesai menjalani proses rakaman lagu di studio EZ Record dan dijangka diperkenalkan mengikut perancangan label.
Beberapa lagi karya baharu juga sudah disiapkan dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk diperdengarkan kepada umum.
Buat Ezad, perjalanan baharu itu bukan semata-mata tentang dirinya, sebaliknya membuka ruang untuk lebih banyak bakat dan karya tempatan mendapat tempat.
Rasa Cinta akhirnya menjadi titik mula kepada fasa baharu seorang anak seni yang sudah lebih 30 tahun mengenal selok-belok industri — kali ini dengan pentas yang dibina atas nama dan usaha sendiri.