‘Politik datang dan pergi, kedudukan tidak kekal selamanya’ – Syed Saddiq hantar sendiri kad kahwin kepada Ismail Sabri, Dr Sam

Iklan

MENJELANG tarikh perkahwinan 10 Oktober depan, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat telah mengedarkan sendiri kad undangan perkahwinannya termasuk kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Tanpa mengira perbezaan parti mahupun fahaman politik, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkongsi momen bertemu kedua-dua pemimpin daripada dua blok berbeza selain mengenang kembali detik yang pernah dikongsi di pentas politik.

Iklan
Iklan

"Hari ini saya sendiri menghantar jemputan perkahwinan kepada dua orang pemimpin politik yang pernah membantu saya pada dua fasa berbeza dalam perjalanan politik saya.

Iklan

"Kami mungkin berbeza parti. Pernah berada di blok politik yang berbeza. Tetapi jasa tetap jasa, kita kenang sampai bila-bila.

"Pertama, Perdana Menteri Malaysia kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau bersetuju dengan prinsip peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Iklan

"Bagi saya, perkara ini sangat penting kerana peruntukan Parlimen bukan duit Ahli Parlimen, ia duit untuk rakyat.

"Dan terima kasih juga belanja lunch. Dapat makan ikan patin dan ikan baung. Yang itu pun saya ingat," titipnya.

Dalam hantaran sama, Syed Saddiq berkongsi pertemuannya dengan Dr Ahmad Samsuri atau lebih dikenali sebagai Dr Sam. Ujarnya, hubungan baik dan urusan beliau dengan Menteri Besar Terengganu itu bermula semasa masa berada di dalam barisan menteri kabinet.

"Cerita kami bermula lebih awal. Ketika saya menjadi Menteri Belia dan Sukan, saya diberikan satu tugas yang pada waktu itu nampak hampir mustahil iaitu mendapatkan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen untuk meluluskan Undi18.

"Beliau adalah antara pemimpin pembangkang pertama yang saya jumpa untuk berunding. Saya masih ingat perbincangan kami.

"Beliau dengar. Beliau kemukakan cadangan dan tuntutan mereka. Tegas, tetapi rasional. Antara perkara penting yang akhirnya dimasukkan ialah pendaftaran pemilih secara automatik supaya rakyat tidak lagi perlu melalui proses pendaftaran manual sebelum boleh mengundi.

"Saya cuba tunaikan apa yang dipersetujui dan beliau pula berpegang pada kata-katanya. Itulah politik yang saya percaya.

"Kita boleh berbeza parti, berbeza ideologi dan berlawan ketika pilihan raya tetapi apabila sesuatu perkara itu baik untuk negara, kita masih boleh duduk semeja, berunding dan mencari jalan bersama.

"Hari ini, bertahun-tahun selepas semua itu, saya datang bukan untuk berunding soal politik. Saya datang untuk menyerahkan kad jemputan kahwin.

"Politik datang dan pergi. Parti boleh berbeza. Kedudukan juga tidak kekal selamanya tetapi budi, jasa dan persahabatan, itu tidak akan saya lupa," titipnya.

Perkongsian tersebut turut mengundang reaksi positif warganet yang melihat tindakan Syed Saddiq sebagai satu usaha menghargai hubungan dan jasa individu yang pernah memainkan peranan dalam perjalanan politiknya.

Rata-rata melihat pemimpin muda itu sebagai seorang yang tidak melupakan budi dan jasa walaupun berbeza parti serta pendirian politik.

Terdahulu, beliau memuat naik pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamed dan isteri, Tun Dr Hasmah Mohd Ali untuk menyerahkan kad undangan.

Syed Saddiq dan tunangnya, Bella Astillah turut meluangkan masa bertemu sendiri isteri Perdana Menteri dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk tujuan yang sama.

Sekadar info, Syed Saddiq dan Bella telah bertunang pada 28 Mac lalu.