BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza nama yang cukup besar dan dikenali hingga ke peringkat antarabangsa. Pengurusnya, Rozi ABdul Razal mengimbau kenangan lebih dua dekad apabila Siti dikatakan menerima warkah daripada vokalis Linkin Park, mendiang Chester Bennington.
Menerusi satu hantaran di Threads, Rozi memuat naik sekeping warkah dihantar mendiang ketika mereka menginap sebuah hotel di Bangkok semasa menghadiri MTV Asia Awards pada 3 Februari 2005.
Kata Rozi dia kembali menemui helaian berkenaan selepas lebih 20 tahun dalam simpanannya.
"Ingat tak saya bercerita tentang anggota kumpulan Linkin Park, Chester ni. Memang dia ada hantar topi kepada Siti Masa MTV Asia Awards di Bangkok .
"Saya memang. Apa-apa barang Siti, saya memang simpan. Bayangkan berapa tahun saya simpan. 21 tahun saya simpan surat ini," titipnya.
Jelas Rozi pelantun Bukan Cinta Biasa itu berkata Siti Nurhaliza bagaimanapun tidak memakai topi berkenaan seperti diminta Bennington.
"Siti tak pakai topi tu sebab tak sesuai dengan penampilan. Kalau check semula, beliau memakai baju kebaya labuh dengan seluar dan buat persembahan lagu Seindah Biasa.
"Kalau tanya mana topi tu? Dah 21 tahun, maybe di rumah lama atau memang sudah tiada. Lama sangat ni. Penafian, sekadar engimbau sahaja tiada tujuan lain ," titip Rozi.
Warganet meluahkan kekaguman kepada Siti Nurhaliza yang sudah dikenali di peringkat dunia pada ketika itu.
"Kumpulan orang putih pun cair dengan Datuk Siti. Siap bagi topi,"
"Kami bangga Malaysia ada Siti Nurhaliza."
"Siti adalah nama besar sejak dahulu. Tak perlu asimilasi budaya negara lain. Negara luar cari beliau.
Sekadar info, Linkin Park ialah kumpulan muzik rock alternatif yang paling terkenal di dunia dan berasal dari Amerika Syarikat.
Mereka sangat dikenali dengan gabungan genre rock dan elemen elektronik serta lagu-lagu hits antarabangsa seperti In the End, Numb, Crawling dan Paper Cut.
Bennington telah meninggal dunia pada Julai 2017 dan telah digantikan oleh Emily Armstrong sebagai vokalis baharu bermula pada September 2024.
Sumber: Threads