DALAM kehidupan berumah tangga, bahagia bukan sesuatu yang datang sekali lalu kekal selamanya. Ada hari yang terasa mudah, ada ketika pasangan diuji dengan perbezaan pandangan, kesibukan dan pelbagai tanggungjawab yang perlu dipikul bersama.
Di situlah pentingnya pasangan kembali mengingatkan diri tentang tujuan mereka membina kehidupan bersama.
Persoalan itu antara perkara yang disentuh Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz dan Neelofa ketika mengajak kira-kira 800 peserta merenung kembali makna sebuah rumah tangga menerusi perkongsian pada 19 September lalu.
Bukan sekadar tentang bagaimana mahu hidup bahagia bersama pasangan, kehidupan berumah tangga turut menuntut pengorbanan, kesetiaan, kesabaran dan kesediaan untuk saling memperbaiki diri.
Malah, ada peserta yang tidak mampu menahan sebak dan menitiskan air mata ketika mengikuti perkongsian tersebut.
Barangkali setiap orang datang dengan cerita berbeza. Ada yang sedang menikmati fasa bahagia, ada yang belajar memahami pasangan dan mungkin ada juga yang sedang berusaha mempertahankan apa yang telah dibina bersama.
Namun, semuanya bertemu pada satu persoalan yang sama: adakah rumah tangga yang dibina sekadar untuk mencari bahagia di dunia atau menjadi sebahagian daripada perjalanan menuju kehidupan yang kekal?
Bagi Neelofa, ruang untuk belajar dan bermuhasabah seperti itu menjadi satu nikmat apabila ramai dapat berhenti seketika daripada kesibukan masing-masing dan kembali melihat apa yang penting dalam kehidupan.
"Saya sangat bersyukur atas setiap nikmat ALLAH, kecil mahupun besar, yang kita sedar mahupun tidak,” katanya.
Menurutnya, antara nikmat terbesar yang disyukuri ialah apabila masih diberikan peluang dan ruang untuk terus menghidupkan pentas dakwah.
“Semoga setiap perkongsian yang disampaikan menjadi asbab kebaikan, bukan hanya untuk yang mendengar, tetapi terlebih dahulu untuk diri sendiri.
"Semoga ALLAH terus izinkan, terus pimpin dan terus gunakan kita dalam jalan yang Dia redai,” katanya.
Bagi PU Riz pula, kehidupan sebagai suami isteri bukan hanya tentang mencari keserasian atau menikmati saat manis bersama. Lebih penting, kedua-duanya perlu memahami tanggungjawab yang hadir bersama sebuah perkahwinan.
“Saya berharap setiap ilmu yang dikongsikan tidak terhenti di dalam dewan, sebaliknya dibawa pulang untuk diamalkan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam hubungan suami isteri dan keluarga.
“Bagi kami, rumah tangga bukan sekadar mencari bahagia bersama pasangan, tetapi sebuah amanah yang perlu dipelihara dengan ilmu, iman dan kesediaan untuk saling memperbaiki diri demi mencari reda ALLAH SWT,” katanya.
Perkara itu barangkali menjadi peringatan yang dekat dengan kehidupan ramai pasangan. Dalam mengejar keperluan keluarga, mengurus anak-anak dan menyelesaikan rutin harian, hubungan suami isteri juga memerlukan perhatian.
Kadangkala, yang diperlukan bukan perkara besar pun. Sebaliknya, ruang untuk berbincang, mendengar, memahami dan mengingatkan satu sama lain tentang tujuan perjalanan yang dipilih bersama.
Perkongsian tersebut berlangsung menerusi program Rumah Tangga Sekadar Dunia Atau Selamanya anjuran Nunha yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah.
Selain PU Riz dan Neelofa, Datuk Seri Aliff Syukri dan isteri serta Nabil Ahmad dan isteri turut terbabit dalam perkongsian berkenaan.