KALAU sudah puas menjelajah Kota Kinabalu, mencari makanan sedap dan healing sambil menikmati pemandangan laut, apa kata kali ini isi itinerari dengan menyelami kepelbagaian budaya Sabah menerusi Ritma Kinabalu (Rhythms of Kinabalu - ROK) 2026 yang menghimpunkan muzik, tarian, kraf dan warisan pelbagai etnik dalam satu lokasi.
Berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, festival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu boleh dikunjungi dari jam 8.30 pagi hingga 11 malam.
Memasuki edisi ke-12 sejak diperkenalkan pada 2011, ROK 2026 menawarkan pelbagai aktiviti menarik.
Peminat seni dan kraf boleh singgah ke Tamu Seni serta Kampung Budaya hasil kerjasama Sekolah Adat Negeri Sabah untuk melihat lebih dekat keunikan warisan tempatan.
Kalau suka merakam gambar, jangan lepaskan perarakan budaya sejauh tiga kilometer anjuran SEAMEX. Seramai 110 peserta daripada pelbagai etnik Sabah bakal tampil dalam busana tradisional masing-masing.
Mahu bergerak aktif? Senam seni 2.0 menggabungkan senaman, gerak tari dan muzik berirama. Si kecil pula boleh menyertai pertandingan mewarna kanak-kanak, manakala seisi keluarga boleh mencuba sukan rakyat dan kuiz interaktif.
Turut memeriahkan festival ialah Miss ROK dan Voice of Ethnic.
Lebih menarik, malam gala dan perasmian ROK 2026 menampilkan gabungan muzik tradisional dan moden berasaskan legenda Sabah. Seramai 156 pemuzik dan penari terlibat menerusi lima segmen utama iaitu Lagenda Aki Nabalu, Lagenda Huminodun, Lagenda Pahlawan Antanom, Pahlawan Kuda dan Arung Salamiah.
Antara pengisi pentas Elica Paujin, Den Bisa, Kumpulan the Male-Efficient, Kumpulan MuTraS, Kumpulan Kesenian JKKN Sabah dan ramai lagi.
Untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi di Facebook atau laman web JKKN.