SETIAP pasangan pasti mengimpikan dapat meniti usia bersama hingga ke hujung nyawa. Namun, soal ajal bukan sesuatu yang mampu dirancang kerana perpisahan boleh berlaku pada bila-bila masa.
Persoalannya, bagaimana kehidupan pasangan yang ditinggalkan selepas pemergian insan tersayang?
Bagi pendakwah bebas dan suami kepada selebriti media sosial serta usahawan, Nur Neelofa, PU Riz kehidupan selepas kehilangan pasangan perlu dilihat daripada sudut yang lebih luas.
Menerusi perkongsian dalam program Rumah Tangga Sekadar Dunia Atau Selamanya anjuran Nunha baru-baru ini, PU Riz secara terbuka menyentuh persoalan yang mungkin sukar diterima sesetengah pasangan iaitu tentang kemungkinan berkahwin semula selepas kematian suami atau isteri.
Menurutnya, pasangan yang kehilangan insan tersayang tidak seharusnya terlalu memikirkan soal perkahwinan semula sehingga melupakan perkara lebih besar iaitu kehidupan di akhirat.
“Kalau isteri ataupun suami meninggal hari ini, esok kahwin lain tak? Ataupun lepas tu kahwin lain tak? Saya sarankan, kahwin lain.
"Jadi daripada kita duduk fikir sekarang, pasangan nak kahwin lagi atau tidak, teruskan. Bina ibadah.
“Yang penting, awak doakan saya selamat dekat akhirat,” ungkap bapa kepada dua cahaya .
Kahwin semula bukan bermakna melupakan pasangan
PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail menjelaskan, perkahwinan bukan sekadar berkaitan perasaan atau keperluan hidup, sebaliknya perlu dilihat sebagai salah satu bentuk ibadah.
Justeru, katanya, jika pasangan yang ditinggalkan memilih untuk berkahwin semula, keputusan itu seharusnya diteruskan dengan niat yang baik serta membina kehidupan berlandaskan agama.
“Awak kahwin pun kena ingat, kahwin itu untuk ibadah. Supaya diri kita sentiasa dalam ibadah.
“Kalau isteri kita kahwin lain ataupun suami kita kahwin lain, dengan didikan kita, kita suruh kahwin itu adalah kerana ibadah yang perlu diteruskan.
“Kerana kebaikan supaya awak jaga kemaluan dan diri awak. Pahala untuk si mati.
"Malaikat datang, ALLAH nampakkan balik 99 buku amalan catatan kita. Dosa apa kita tak pernah buat. Semua ALLAH tulis belaka." ujarnya.
Bagi PU Riz, kematian memutuskan kehidupan di dunia, namun bukan alasan untuk pasangan yang masih hidup berhenti meneruskan kehidupan.
Malah, beliau sendiri terbuka dengan kemungkinan isterinya berkahwin dengan lelaki lain sekiranya dirinya pergi terlebih dahulu.
“Kerana mungkin giliran saya yang pergi dahulu atau mungkin giliran awak. Soal kasih dan cinta ini semua sementara.
"Sebab itu dipanggil isteri mahram sementara, bukan mahram selamanya. Mak adalah mahram selamanya.
"Dikala ALLAH putuskan kita, cari kehidupan yang tak pernah kita bina agama di dunia ini untuk akhirat kita,” kongsinya lagi dengan penuh makna.
Doakan pasangan teruskan kehidupan
Dalam perkongsian sama, PU Riz turut mengingatkan bahawa hubungan suami isteri di dunia mempunyai batasnya, sedangkan kehidupan akhirat adalah perjalanan yang lebih panjang.
Menurutnya, pasangan perlu bersedia menerima hakikat bahawa suatu hari nanti mereka akan berpisah, sama ada kerana kematian atau ketentuan lain yang telah ditetapkan ALLAH SWT.
“Kalau kita dah tak ada esok-esok, dia dapat kahwin dengan orang yang lebih baik daripada kita.
“Mungkin anak-anak kita yang langsung tak tahu al-Quran, tak tahu agama, dia sebab dia kahwin. Itu suami ini ajar anak-anak kita. Bukankah kita yang memperoleh bahagia lebih banyak?” jelasnya
Beliau turut berkongsi kisah Salamah yang kehilangan suaminya sebelum kemudiannya dinikahi Nabi Muhammad SAW, sebagai gambaran bahawa kehidupan seseorang selepas kehilangan pasangan masih boleh diteruskan dengan jalan yang baik.
PU Riz mengakui perspektif tersebut mungkin tidak mudah diterima semua pihak, khususnya apabila melibatkan perasaan anak-anak atau keluarga yang ditinggalkan.
Namun, katanya, kematian adalah sesuatu yang perlu dipersiapkan secara mental dan agama kerana tiada siapa mengetahui siapa yang akan pergi terlebih dahulu.
“Mati dan berpisah ini satu benda yang akan berlaku suatu hari nanti. Jadi, kita perlu ada pemikiran dan persediaan,” katanya lagi.
Perkongsian tersebut secara tidak langsung mengajak pasangan melihat soal kehilangan bukan hanya daripada sisi kesedihan, tetapi juga tentang amanah untuk meneruskan kehidupan, menjaga keluarga dan terus membina amal sebagai bekalan menuju akhirat.