brïk raikan tahun ketiga dengan Pattern Play, tampil lebih berani bermain corak dan gaya

Iklan

ADA jenama yang dikenali kerana logonya, ada pula yang mudah diingati kerana satu warna atau rekaan tertentu. Namun, bagi brïk, identiti itu terasa lebih dekat dengan cara peminatnya mengekspresikan diri melalui fesyen.

Bermula sebagai projek minat dua beradik, Sabrina dan Syakira Ridzal ketika pandemik, brïk perlahan-lahan membina kelompok pengikut tersendiri. Daripada jualan secara dalam talian, jenama tempatan itu kini sudah mencatat jualan lebih 100,000 beg.

Iklan
Iklan

Selepas tiga tahun, brïk nampaknya masih belum mahu bermain selamat.

Menerusi koleksi terbaharu, Pattern Play, mereka mengembangkan identiti yang selama ini sinonim dengan warna blok kepada sesuatu yang lebih berani menerusi permainan corak, tekstur dan perincian.

Iklan

Koleksi berkenaan menghimpunkan 36 rekaan, termasuk tiga beg tangan baharu iaitu Posie, Pixie dan Sundae, selain aksesori seperti pemegang kad Sundae serta dompet Colourblock Compact Pal.

Iklan

Namun, perkara yang paling mencuri perhatian ialah langkah pertama brïk membawa identiti mereka ke dunia pakaian.

Melalui siri Cardi Knit, peminat boleh memilih empat corak iaitu Polka Dots, Script, Stripes dan Pin. Rekaan tersebut mengekalkan pendekatan santai yang mudah digayakan, tetapi pada masa sama cukup menyerlah untuk dijadikan pelengkap kepada koleksi beg dan aksesori brïk.

Bagi Sabrina dan Syakira, permainan warna sememangnya tidak pernah jauh daripada identiti jenama mereka.

“Koleksi Pattern Play ini bagi kami lebih ruang untuk bereksperimen, cuba benda baharu dan berseronok dengan apa yang kami hasilkan.

“Masuk tahun ketiga ini, kami tak sabar nak lihat apa lagi yang boleh kami buat, terus hasilkan rekaan yang kami banggakan dan manalah tahu boleh beri inspirasi kepada orang lain untuk turut sama berseronok dalam perjalanan ini,” kata mereka.

Bukan sekadar soal rekaan, perjalanan brïk sepanjang tiga tahun turut banyak dipengaruhi komuniti yang terus menyokong jenama berkenaan sejak awal.

Justeru, sempena ulang tahun ketiga, brïk memilih untuk membawa pengalaman itu keluar daripada skrin dengan mengambil alih sebuah ruang fizikal di APW Bangsar selama dua minggu.

Bermula 28 September hingga 11 Oktober 2026, ruang berkenaan dibuka setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga 8 malam, sekali gus memberi peluang kepada komuniti untuk melihat sendiri koleksi dan merasai suasana yang dibina brïk.

Selain koleksi Pattern Play, pengunjung juga boleh menjangkakan pelbagai aktiviti, kejutan eksklusif serta ruang santai yang mengetengahkan suasana komuniti kreatif.

Menariknya, pop-up berkenaan turut membuka satu persoalan baharu buat dua pengasas itu sendiri.

Adakah ia sekadar sambutan ulang tahun atau mungkin menjadi langkah awal ke arah sebuah kedai fizikal brïk pada masa depan?

“Dan... manalah tahu kan. Pop-up dua minggu ini pun buatkan kami tertanya-tanya juga macam mana agaknya kalau brïk ada ruang sendiri nanti. Siapa tahu?” ujar Sabrina dan Syakira.