Dr Zulkifli kongsi momen ziarah Tun M selepas pemergian Tun Hasmah - ‘Saya cuba pujuk dan kuatkan hati seorang bapa’

Iklan

KEHILANGAN insan tersayang sememangnya meninggalkan ruang yang sukar diisi, apatah lagi apabila pasangan hidup yang selama ini menjadi teman di sisi pergi buat selama-lamanya.

Begitulah yang dirasai Tun Dr Mahathir Mohamad selepas pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohd Ali, yang menghembuskan nafas terakhir baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Dalam suasana duka itu, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengambil kesempatan menziarahi negarawan berkenaan di kediamannya selepas pulang ke tanah air.

Menerusi perkongsian di media sosial, beliau menggambarkan pertemuan tersebut cukup berbeza berbanding pertemuan mereka sebelum ini.

Iklan

“Raut wajah Tun jelas kelihatan sugul. Dalam keadaan duduk di atas kerusi roda setelah kehilangan insan yang begitu dekat di hati, saya menghampiri beliau lalu bersalaman.

Iklan

“Saya bisikkan beberapa patah kata dan nasihat kecil, umpama seorang anak yang sedang cuba memujuk dan menguatkan hati seorang bapa yang sedang diuji dengan kehilangan,” katanya.

Dalam kunjungan itu, beliau turut memohon maaf kepada Tun M kerana tidak dapat hadir ketika urusan jenazah Allahyarham Tun Dr Hasmah.

Namun, dirinya tetap bersyukur kerana berada di Madinah ketika itu dan berpeluang bersama-sama sahabat menunaikan solat jenazah ghaib buat Almarhum di Masjid Nabawi.

Selepas solat Maghrib, beliau turut menyertai bacaan Surah Yasin dan tahlil sebelum diminta memimpin doa khusus untuk Tun Hasmah.

“Begitulah kehidupan. Ada pertemuan yang meninggalkan kenangan, ada perpisahan yang tidak pernah kita pinta. Namun, pada akhirnya, setiap perjalanan akan sampai kepada penghujungnya, dan kita semua akan kembali kepada-NYA,” ujar beliau lagi.

Perkongsian tersebut turut menyentuh tentang keadaan Tun Dr Mahathir yang kemudiannya dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemerhatian kesihatan.

Katanya, beliau menerima khabar bahawa keadaan Tun Dr Mahathir ketika itu stabil.

Pada masa sama, bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu turut menitipkan doa agar bekas Perdana Menteri tersebut terus diberikan kekuatan untuk melalui fasa sukar selepas kehilangan teman hidup yang sekian lama menemaninya.

“Semoga ALLAH SWT mengurniakan kekuatan dan kesabaran kepada Tun dalam menghadapi saat-saat yang penuh ujian ini.

“Semoga ALLAH memberikan kesembuhan, memelihara kesihatan Tun, menenangkan hatinya, serta melimpahkan rahmat dan kasih sayang-NYA kepada Allahyarham Tun Dr Hasmah,” katanya.

Pemergian Tun Dr Hasmah bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam buat keluarga, malah mengundang ucapan takziah dan doa daripada pelbagai lapisan masyarakat yang mengenali sosok tersebut sepanjang hayatnya.